Rabu, 15 Ogos 2018 | 8:26pm
SERAMAI 384 suri rumah mendaftar Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) selepas pendaftarannya dibuka hari ini. - Foto Amran Hamid
SERAMAI 384 suri rumah mendaftar Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) selepas pendaftarannya dibuka hari ini. - Foto Amran Hamid

384 daftar i-Suri hari pertama

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, seramai 384 suri rumah mendaftar Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) selepas pendaftarannya dibuka hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia adalah pendaftaran untuk program fasa pertama.

“Daripada laporan yang diterima, mereka mendaftar di kaunter Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibuka di seluruh negara,” katanya kepada media di Lobi Parlimen, hari ini.

Pendaftaran i-Suri dibuka selepas Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melancarkan Insentif Suri Rumah di Persidangan Keselamatan Sosial Antarabangsa KWSP 2018, baru-baru ini.

Sebelum ini, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi menjayakan fasa pertama i-Suri.

Program yang dilaksanakan dalam tiga fasa itu mensasarkan suri rumah kepada Ketua Isi Rumah (KIR), ibu tunggal, balu dan wanita bujang yang berdaftar dengan sistem e-Kasih.

Pendaftaran fasa pertama i-Suri bermula hari ini dengan kerajaan menyumbang RM40 sebulan bagi setiap caruman sukarela dengan jumlah minimum RM5 ke akaun KWSP.

Bagi fasa kedua yang dijangka bermula tahun depan pula, sumbangan kerajaan akan meningkat kepada RM50 dengan RM10 daripadanya akan disumbangkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Fasa ketiga pula, insentif dua peratus sumbangan KWSP suami akan dimasukkan ke akaun isteri, pelancaran fasa itu dijangka pada awal 2020 kerana beberapa pindaan perlu dilakukan terhadap akta berkaitan.

Dijangkakan, seramai 359,065 wanita yang berdaftar dengan sistem e-Kasih akan beroleh manfaat daripada skim berkenaan.

Individu yang layak mendaftar i-Suri akan menikmati manfaat yang sama seperti ahli KWSP lain seperti dividen tahunan ke atas simpanan persaraan, pengeluaran umur 50, 55 dan 60 tahun, bantuan hilang upaya dan bantuan kematian.

Berita Harian X