Rabu, 15 Ogos 2018 | 3:25pm
MOHD Redzuan Yusof. - Foto Mohd Yusni Ariffin

e-dagang bantu perluas produk SDSI

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan berusaha membawa produk daripada program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) ke peringkat antarabangsa melalui perkhidmatan e-commerce (E-dagang).

Menterinya, Mohd Redzuan Yusof, berkata perkhidmatan e-dagang akan membantu memperluas pasaran produk SDSI ke pasaran global.

“Kita dapati program SDSI yang diasaskan Jepun dan Thailand berjaya dari segi pemasaran global menggunakan inisiatif e-dagang.

“Kita akui ada pelbagai kelemahan pada awalnya, namun kita lihat e-dagang ini sebagai penambahbaikan yang boleh dibuat untuk memasarkan produk SDSI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-UMNO Paya Besar) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Shahar ingin mengetahui langkah kementerian menguruskan data SDSI dengan baik supaya dapat bersaing seperti laman web beli-belah terkenal (Lazada) yang mampu membantu ekonomi peringkat akar umbi.

Mohd Redzuan berkata, seramai 7,212 usahawan SDSI berdaftar dengan lima kementerian peneraju mengikut kluster sehingga kini.

Katanya, ia merangkumi produk makanan dan minuman, inap desa, produk perkhidmatan kesihatan, produk kraf serta promosi pemasaran dan pembangunan usahawan.

SDSI adalah program pembangunan ekonomi yang dijalankan komuniti setempat berasaskan produk atau perkhidmatan unik beridentitikan sesebuah daerah.

Antara produk utama ialah kerepek, kek lapis, produk sejuk beku dan bahan masakan, kopi herba dan produk herba kosmetik, batik, seramik, lekatan manik mutiara serta songket.

Menjawab soalan asal Mordi Bimoi (PH-DAP Mas Gading) mengenai bantuan kepada usahawan SDSI, Mohd Redzuan berkata, bantuan yang diberikan termasuk bantuan peningkatan kemahiran dan modal insan, prasarana dan mesin serta rangsangan ekonomi.

Berita Harian X