Selasa, 14 Ogos 2018 | 2:15pm
MAHATHIR menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
MAHATHIR menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Perkara 66(4A) tak akan dipinda semula - PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak akan mengkaji dan meminda semula Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam meneliti dan memperkenankan sesuatu rang undang-undang (RUU).

Perdana Menteri berkata, pindaan berkaitan perkara itu sudah dibuat tiga kali sejak 1983.

Katanya, tiga pindaan itu membabitkan Akta Perlembagaan (Pindaan )1983, Akta Perlembagaan (Pindaan) 1984 dan Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994.

“Pindaan itu selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini, iaitu kuasa membuat undang-undang adalah hak Parlimen.

“Ia juga menolak keraguan Parlimen sebenarnya tidak berkuasa dan negara ini diperintah oleh Raja yang mempunyai kuasa mutlak dan tidak tertakluk kepada Perlembagaan.

“Berdasarkan prinsip Raja Perlembagaan diamalkan di negara ini, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama yang mana semua berpandukannya,” katanya menjawab soalan asal Datuk Dr Ismail Mohamed Said (BN-UMNO Kuala Krau) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail mahu mengetahui sama ada kerajaan akan mengkaji dan meminda semula Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan jika satu-satu RUU tidak diperkenan Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh 30 hari, maka ia boleh dikuatkuasakan.

Dr Mahathir berkata, pindaan pada 1994, Fasal 4 dan 44a Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan dibuat supaya satu-satu RUU itu tidak terlalu lama untuk dikuatkuasakan sebagai undang-undang selepas Dewan Rakyat dan Dewan Negara meluluskannya dan dipersembahkan untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, dengan pindaan itu (melainkan hal berkaitan keistimewaan Raja-Raja) maka satu-satu RUU itu akan terus menjadi undang-undang selepas tempoh 30 hari di luluskan.

“Dengan itu, pindaan berkenaan menghapuskan keraguan terhadap hak Parlimen dalam menggubal undang-undang seterusnya menolak tanggapan bahawa Raja mempunyai kuasa mutlak terhadap undang-undang negara ini,” katanya.

Beliau berkata, pindaan berkenaan tidak sewajarnya dilihat menggugat kemuliaan Raja-Raja tetapi memaktubkan prinsip yang dipersetujui iaitu kedaulatan rakyat dan kewibawaan institusi legislatif mewakili kehendak rakyat.

“Kemuliaan Raja-Raja tetap dipertahankan dalam konteks Raja Berperlembagaan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (PBB-Santubong) mengenai kesesuaian pindaan itu untuk terus digunakan sehingga hari ini, katanya dalam negara demokrasi, suara rakyat menentukan segala-galanya.

Namun, katanya, pada masa sama RUU yang diluluskan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya baginda mengetahui ia dipersetujui rakyat untuk dilaksanakan.

“Jika kita bagi kuasa mutlak kepada Yang di-Pertuan Agong, maka rakyat hilang kuasa dan kita bukan lagi negara demokrasi sebaliknya menjadi negara monarki.

“Saya rasa kita bersetuju kuasa rakyat tidak boleh diketepikan dan dibatalkan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Takiyuddin Hasan (PAS-Kota Bharu) mengenai ada negeri belum meminda berkaitan perkara itu seperti di peringkat Persekutuan, Perdana Menteri berkata, tiada paksaan untuk kerajaan negeri meminda perkara itu.

“Ini berkaitan kefahaman dan kesepakatan antara dua kuasa. Kita banyak meniru undang-undang Britain tetapi di sana tidak berlaku Ratu menolak keputusan Parlimen.

“Ini satu formaliti bahawa apa diputuskan Parlimen dipersetujui seluruhnya,” katanya.

Berita Harian X