Isnin, 13 Ogos 2018 | 8:33pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika hadir pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika hadir pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Tuntutan GST dibayar mulai 2019

KUALA LUMPUR: Tuntutan bayaran balik cukai input bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang tidak dibayar kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak 2015, akan dilunaskan kerajaan mulai tahun depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan membuat bayaran balik berlandaskan prinsip moral, etika dan nilai kebertanggungjawaban sebagai kerajaan.

“Sebagai pemegang amanah duit rakyat, sudah pasti kerajaan akan membayar balik tuntutan GST itu.

“Kita berhasrat membayar balik tuntutan itu mulai tahun depan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) yang ingin mengetahui sama ada tuntutan balik GST bernilai RM19.24 bilion akan dipulangkan semula kepada peniaga.

Terdahulu, Guan Eng dilaporkan berkata, jumlah sebenar baki Tabung Bayaran Balik GST adalah RM148.6 juta yang mana cukai tidak dituntut bernilai RM19.24 bilion.

Beliau berkata, rakyat boleh menilai sendiri keikhlasan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan komitmen itu.

Dalam hal itu, katanya, pihak yang mengenakan cukai dan tidak membayar balik tuntutan dan menggunakannya tanpa pengetahuan rakyat adalah kerajaan BN.

Guan Eng berkata, tuntutan bayaran balik GST belum dapat dibuat kerana wang itu sudah digunakan untuk tujuan lain walaupun bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Siregar, mengakui ia dimasukkan ke Akaun Disatukan.

Terdahulu, Guan Eng berkata, ada pihak tertentu cuba menggagalkan usaha kerajaan meluluskan Rang Undang-undang Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di Dewan Negara .

RUU Perbekalan (Penguntukan semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 bagi bacaan kali kedua diluluskan Dewan Rakyat, petang ini.

Berita Harian X