Isnin, 13 Ogos 2018 | 6:39pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng ketika ditemui di Bangunan Parlimen. - Foto Aizuddin Saad
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng ketika ditemui di Bangunan Parlimen. - Foto Aizuddin Saad

RM6.22 bilion untuk penyusunan semula kementerian

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 memperuntukkan RM6.22 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, seiring keputusan kerajaan menyusun semula dan memansuhkan beberapa kementerian.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kos itu turut membabitkan nilai perpindahan program dan projek pembangunan antara kementerian.

Katanya, langkah itu juga bagi memenuhi matlamat pentadbiran Pakatan Harapan (PH) untuk mereformasikan institusi negara.

“Ia juga bagi menambah baik sistem semak dan imbang sedia ada bagi menghalang penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan harta rakyat secara berleluasa pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Perbekalan 2018 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Guan Eng berkata, RUU itu akan memperkemaskan organisasi dan fungsi kementerian supaya lebih fokus kepada bidang tugas masing-masing dalam usaha mensejahterakan rakyat.

Katanya, ia akan memudahkan tindakan akan dilaksanakan dan seterusnya memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat, selaras hasrat kerajaan untuk meringankan beban kehidupan rakyat.

Guan Eng berkata, ia juga bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama, selain membina Malaysia yang inklusif, sederhana dan gemilang.

“Penyusunan ini akan menggalakkan kerjasama antara 4P iaitu private (swasta), public (awam), people (rakyat) dan profesional atau antara sektor swasta, awam, rakyat dan golongan profesional untuk menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi rakyat,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan paling besar daripada RM6.22 bilion itu iaitu sejumlah RM2.09 bilion diperuntukkan bagi membiayai projek yang dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Sejumlah RM1.6 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bagi membiayai projek yang dipindahkan daripada JPM, Perbendaharaan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Sebanyak RM15.3 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk membiayai projek yang dipindahkan dari JPM, ” katanya.

Guan Eng berkata, sejumlah RM670 juta diperuntukkan kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk membiayai projek yang dipindahkan daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Katanya, sejumlah RM191 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan untuk membiayai projek yang dipindahkan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Penguntukan semula ini adalah tapak permulaan untuk kerajaan berkongsi dengan rakyat kaedah baharu untuk berbelanja dengan berhemat demi kesejahteraan rakyat .

“Langkah ini juga selaras dengan konsep kompetensi (kecekapan), akauntabiliti (kebertanggungjawaban) dan transparensi (ketelusan) (CAT) yang diamalkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan semula itu juga selaras dengan usaha kerajaan yang kini dalam proses menyediakan Bajet 2019 yang akan dibentangkan November ini.

Berita Harian X