Rabu, 8 Ogos 2018 | 12:39pm

Bajet 2018 diselaras semula

KUALA LUMPUR: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menerima peruntukan tertinggi iaitu RM1.3 bilion daripada RM3.065 bilion peruntukan yang diselaras semula dalam Bajet 2018 bagi segmen perbelanjaan perkhidmatan.

Perbendaharaan menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM444 juta, diikuti Kementerian Dalam Negeri (RM226 juta).

Semua pelarasan bajet berkenaan berkuat kuasa 2 Julai lalu.

Segmen perbelanjaan perkhidmatan Bajet 2018 diselaras semula susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu yang menyaksikan beberapa kementerian dirombak atau dimansuhkan.

Penyelarasan Bajet 2018 itu dilakukan menerusi pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Bajet 2018 yang dibentang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mencadangkan peruntukan RM280.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM234.25 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Menerusi peruntukan mengurus, sebanyak RM79.15 bilion untuk emolumen dan RM33.62 bilion untuk perkhidmatan dan bekalan.

Sejumlah RM119.82 bilion untuk pemberian dan bayaran tetap manakala perbelanjaan lain pula diperuntukkan RM1.08 bilion dan RM577 juta untuk pembelian aset.

Berita Harian X