Selasa, 7 Ogos 2018 | 5:51pm
NURUL Izzah Anwar (kanan) bersama Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Azrul Izham Hamzah (kiri) sebelum memulakan taklimat sempena lawatan kerjanya di PTPK. - Foto Supian Ahmad

Institut kemahiran gagal selenggara dana PTPK disenarai hitam

KUALA LUMPUR: Institut latihan kemahiran yang gagal menyelenggara dana pinjaman diberi oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) berkemungkinan disenarai hitam daripada menerima kemudahan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET), Nurul Izzah Anwar, berkata, sudah tiba masanya tindakan itu dilakukan kerana dana tidak disalurkan dengan sepatutnya.

Katanya, kegagalan menyelenggara dana dengan baik menyebabkan pelajar terpaksa menanggung kesannya kerana kebanyakan peminjam datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Rata-rata pelajar institusi kemahiran ini bergantung kepada dana PTPK dan agenda utama kita sekarang adalah memastikan pelajar ini mendapat gaji setimpal bagi memudahkan bayaran balik.

“Jadi jika berlaku ketirisan, seeloknya institusi berkenaan disenarai hitamkan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke PTPK, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah PTPK, Datuk Sri Adenan Ab Rahman dan Ketua Eksekutif PTPK, Azrul Izham Hamzah.

Lawatan itu bertujuan untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai peranan dan fungsi PTPK sebagai pembiaya latihan kemahiran kepada pelajar dalam bidang kemahiran.

Nurul Izzah berkata, beliau melihat komitmen yang baik daripada pihak kementerian dan juga PTPK bagi menyelesaikan isu penyaluran dana ini.

Dana yang disalurkan tidak akan diberi kepada sebarang institusi kerana beberapa kriteria diambil kira seperti prestasi kutipan bayaran balik pinjaman dan berdasarkan keputusan penarafan bintang.

“Justeru ia dapat melahirkan suasana kondusif bagi graduan TVET untuk membayar balik setimpal dengan agenda kita memperkasakan TVET,” katanya.

Sementara itu, Azrul Izham, berkata bagi tahun 2001 hingga 2018, PTPK sudah membiayai pinjaman latihan kepada 415,490 peminjam dengan jumlah dana sebanyak RM4.07 bilion.

“Daripada jumlah itu, kutipan yang diterima setakat ini sebanyak RM502 juta. Tetapi selepas PTPK memperkenalkan pusat panggilan bagi bayaran balik, ia meningkat kepada 40 peratus.

“Kita juga akan memperkenalkan inisiatif lain bagi meningkatkan bayaran balik supaya dana itu dapat diberikan kepada peminjam untuk tahun semasa.

“Ketika ini, tempoh bayaran balik diberikan kepada peminjam ialah selama 10 tahun dengan kadar kadar perkhidmatan ialah sebanyak tiga peratus saja,” katanya.

Berita Harian X