Isnin, 6 Ogos 2018 | 3:53pm
SALASIAH Osman (berkerusi roda) dari Kampung Sedaka Tengah, Yan, Kedah mengerjakan haji ditemani anaknya Mat Saad Mahmud (kiri) dan menantu, Siti Mariam Rasip (kanan) bergambar bersama ahli keluarga lain di Kompleks Tabung Haji (TH) Sepang sebelum berangkat ke Tanah Suci. - Foto Samadi Ahmad
SALASIAH Osman (berkerusi roda) dari Kampung Sedaka Tengah, Yan, Kedah mengerjakan haji ditemani anaknya Mat Saad Mahmud (kiri) dan menantu, Siti Mariam Rasip (kanan) bergambar bersama ahli keluarga lain di Kompleks Tabung Haji (TH) Sepang sebelum berangkat ke Tanah Suci. - Foto Samadi Ahmad

Cacat penglihatan bukan penghalang hasrat mengerjakan haji

SEPANG: "Walaupun mempunyai masalah penglihatan yang serius, namun saya tetap teruja untuk mengerjakan haji dengan bantuan anak dan menantu," kata Salasiah Osman, 74, yang mendapat peluang ke Tanah Suci bagi musim haji tahun ini.

Warga emas dari Kampung Sedaka Tengah, Yan, Kedah, berkata dia mengalami masalah penglihatan sejak 20 tahun lalu sehingga menyebabkannya tidak dapat melihat objek di hadapannya dengan jelas.

Ibu kepada lapan anak ini turut bersyukur kerana dapat mengerjakan rukun Islam kelima itu, malah tidak menganggap kecacatan penglihatan itu membataskan hasrat beliau untuk melakukan ibadat.

Dia berharap dapat berdoa sepanjang mengerjakan haji nanti agar diberi kesejahteraan dan dapat melaksanakan apa jua ibadat dengan penuh ketenangan di kota suci itu.

"Masa dapat panggilan Tabung Haji (TH) saya terpilih, rasa seronok buat persiapan sebab sudah lama tunggu untuk datang ke Tanah Suci," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks TH, di sini.

Sepanjang di Tanah Suci, Salasiah akan ditemani anaknya, Mat Saad Mahmud, 38, guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK),Pulau Indah, Selangor dan menantu, Siti Mariam Rasip, 41, yang juga guru agama di SK Sijangkang, Kuala Langat, Selangor.

Salasiah berkata, dia sudah lama mendaftar dengan TH dan mengumpul duit sedikit demi sedikit hasil jualan padi, termasuk menyimpan wang pusaka peninggalan suami yang meninggal dunia lapan tahun lalu.

Nenek kepada 36 cucu itu berkata, dia rasa bertuah kerana mempunyai anak dan menantu yang memahami serta sanggup membantunya untuk sama-sama melakukan ibadat haji.

"Sekiranya diizinkan Allah, saya akan cuba berjalan sendiri ketika melakukan ibadat haji dengan dipimpin tangan oleh anak atau menantu tanpa bergantung kepada kerusi roda kerana ia lebih mudah dan cepat," katanya.

Sementara itu, Mat Saad berkata, pada mulanya hanya dia dan isteri yang mendapat panggilan haji dan kemudiannya membuat rayuan kepada TH bagi pihak ibunya agar dapat pergi bersama dengan mereka.

Katanya, dia berterima kasih kepada TH kerana meluluskan permohonan ibunya dan pada masa yang sama bersyukur keranadapat berbakti kepadaibunyawalaupun ia satu tanggungjawab yang besar.

Anak ketujuh dari lapan beradik itu berkata, dia dan isteri akan membahagikan tugas sewaktu berada di Tanah Suci bagi menjaga ibu mereka.

"Selain bertuah dipilih sebagai tetamu Allah, kami juga rasa berbangga kerana dapat berbakti serta melaksanakan hasrat ibu bagi mengerjakan ibadat haji yang diinginkan sejak dahulu lagi," katanya.

Berita Harian X