Isnin, 6 Ogos 2018 | 3:50pm

Ishak meninggal akibat komplikasi kanser

KUALA LUMPUR: Bekas personaliti televisyen, Ishak Nengah, 65, meninggal dunia akibat komplikasi barah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, pada jam 12.45 tengah hari tadi.

Ishak, bekas pembaca berita TV3 dan pengacara rancangan di RTM1, dikesan menghidap barah hidung atau atau Nasopharyngeal carcinoma (NPC) pada 2011.

Isteri Allahyarham, Aisyah Ali, berkata suaminya mengadu sukar bernafas, pada jam 4 pagi tadi, ketika berada di rumah.

"Saya membantunya dengan memasang alat bantuan pernafasan tetapi tidak beransur pulih. Saya kemudian segera menghantar arwah ke PPUM.

"Saya sekeluarga sangat sedih kerana pemergian beliau sangat mengejutkan tetapi kami reda," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Darul Ehsan di Subang Jaya, Selangor dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan USJ22, Subang Jaya selepas solat Asar.

Dilahirkan di Bota Kanan, Perak, Allahyarham Ishak pernah berkhidmat sebagai wartawan di akhbar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad dari 1972 hingga 1977 sebelum menjadi pengacara di TV3, tidak lama selepas itu.

Bekas pembaca berita TV3 dan pengacara rancangan di RTM1, menghembuskan nafas terakhir di samping isteri dan tiga anak, Johan (Joe Flizzow), 38; Ashraf, 36; dan Iman, 28.

Menyifatkan Allahyarham seorang yang sangat ceria, Aisyah berkata, Allahyarham dikesan barah pada 2011 tetapi kembali sihat setahun kemudian.

"Bagaimanapun pada 2016, barahnya kembali dan mulai merebak ke paru-paru serta tulang.

"Walaupun sakit, arwah seorang yang sangat ceria dan positif menghadapi penyakit berkenaan," katanya.

Berita Harian X