Isnin, 6 Ogos 2018 | 2:01pm

Ishak Nengah meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas personaliti televisyen, Ishak Nengah, 65 disahkan meninggal dunia akibat komplikasi barah, pada jam 12.45 tengah hari tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini.

Ishak, bekas pembaca berita TV3 dan pengacara rancangan di RTM1, dikesan menghidap barah hidung atau atau Nasopharyngeal carcinoma (NPC) 2011 lalu.

Isteri Allahyarham, Aisyah Ali, berkata suaminya mengadu sukar bernafas, pada jam 4 pagi tadi sewaktu berada di rumah lalu, beliau terus membawanya ke PPUM.

"Beliau tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap yang mencurigakan.

"Lepas mengadu sukar bernafas malam tadi, saya menggunakan bantuan alat oksigen tetapi tidak beransur pulih lalu menghantar beliau ke hospital.

"Saya sekeluarga sangat sedih tetapi reda, kerana pemergian beliau sangat mengejutkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Darul Ehsan di Subang Jaya, Selangor dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan USJ22, Subang Jaya selepas solat Asar.

Dilahirkan di Bota Kanan, Perak, Allahyarham Ishak pernah berkhidmat sebagai wartawan di akhbar kumpulan The New Straits Times Press dari tahun 1972 hingga 1977 sebelum menjadi pengacara di syarikat penyiaran swasta TV3 tidak lama selepas itu.

Beliau, menghembuskan nafas terakhir disamping isteri dan tiga orang anak, Johan (Joe Flizzow), 38, Ashraf, 36, dan Iman, 28.

Menyifatkan Allahyarham seorang yang sangat ceria, Aisyah berkata, Allahyarham dikesan barah pada 2011 bagaimanapun kembali sihat pada 2012.

"Bagaimanapun pada 2016, barahnya kembali dan mulai merebak ke paru-paru serta tulang.

"Walaupun sakit, tetapi beliau seorang yang sangat ceria dan positif melalui penyakit berkenaan," katanya.

Aisyah turut memohon orang ramai mendoakan yang terbaik buat suaminya.

ISHAK Nengah
ISHAK Nengah
Berita Harian X