Ahad, 5 Ogos 2018 | 3:44pm
MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (tiga dari kanan) hadir pada Majlis Trip Silaturahim Memikat Merbuk dan Tekukur di Dewan JKKK Bagan Tiang, Tanjung Piandang, Parit Buntar, hari ini. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (tiga dari kanan) hadir pada Majlis Trip Silaturahim Memikat Merbuk dan Tekukur di Dewan JKKK Bagan Tiang, Tanjung Piandang, Parit Buntar, hari ini. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Kerajaan bincang isu pengharaman kahwin bawah umur

PARIT BUNTAR: Kerajaan akan mengadakan pertemuan khas dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; panel ulama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar perundangan bagi membincangkan isu perkahwinan di bawah umur.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata pertemuan itu bagi membincangkan pindaan terhadap undang-undang syariah di negeri serta undang-undang sivil berkaitan melakukan sekatan terhadap perkahwinan bawah umur.

Menurutnya, undang-undang sedia ada menetapkan wanita berumur 16 tahun dan lelaki berumur 18 tahun ke bawah yang mahu berkahwin, perlu mendapat keizinan mahkamah manakala mengikut undang-undang sivil, mesti mendapat kebenaran Menteri Besar atau Ketua Menteri.

"Walaupun Islam menganggap perkahwinan bawah umur itu sesuatu yang harus tetapi perlu dikaji semula supaya ia diharamkan kerana perkahwinan bawah umur boleh dianggap satu jenayah apabila tidak mematuhi had umur ditetapkan.

"Pengharaman perkahwinan itu bukanlah daripada segi hukum tetapi daripada aspek pentadbiran.

"Hal ini sensitif kerana ia membabitkan adat dalam kalangan masyarakat tertentu terutama di Sabah," katanya pada sidang media selepas Majlis Trip Silaturahim Memikat Merbuk dan Tekukur di Dewan JKKK Bagan Tiang, Tanjung Piandang di sini hari ini.

Beliau mengulas isu perkahwinan bawah umur antara seorang lelaki berumur 41 tahun dengan seorang budak perempuan berumur 11 tahun di Gua Musang, Kelantan, pada Jun lalu, hingga menggemparkan masyarakat seluruh negara.

Mujahid berkata, hanya Wilayah Persekutuan yang mempunyai peruntukan undang-undang syariah demikian manakala perkahwinan sivil pula diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Akta Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian dijangka akan dibentangkan di Parlimen tahun depan kerana deraf akta itu perlu dirangka dengan teliti terlebih dulu.

"Saya yang menyusun deraf itu pada peringkat awal dan sudah berjumpa dengan Menteri serta Timbalan Menteri berkaitan.

"Draf itu perlu dibincangkan dan mendapat kelulusan pejabat Peguam Negara dan mendapat kelulusan dalam Kabinet sebelum dibentangkan di Parlimen," katanya.

Mujahid berkata, akta itu adalah antara tiga rang undang-undang yang akan dibentangkan di Parlimen manakala dua lagi ialah Akta Diskriminasi serta Akta Kebencian Agama dan Kaum.

Berita Harian X