Sabtu, 4 Ogos 2018 | 6:32pm
MENTERI Belia dan Sukan,Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika sidang media di lobi parlimen pada Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke 14 di Bangunan Parlimen. - Foto Luqman Hakim Zubir
MENTERI Belia dan Sukan,Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika sidang media di lobi parlimen pada Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke 14 di Bangunan Parlimen. - Foto Luqman Hakim Zubir

Rombak persatuan belia sekat kebebasan bersuara

KUALA LUMPUR: Cadangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman untuk merombak persatuan belia perlu selari dengan konsep demokrasi di Malaysia yang memberi hak kebebasan bersuara kepada rakyat.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa menyifatkan cadangan itu hanya akan menyekat hak bersuara belia dalam menyatakan keutamaan dan keperluan golongan berkenaan.

"Biarpun menteri bercadang untuk neutralisasikan persatuan belia, hakikatnya tindakan itu hanya akan menyebabkan belia tidak boleh bersuara mengikut ideologi politik masing-masing.

"Sekiranya persatuan belia itu menyokong parti kerajaan, maka mereka berhak menyuarakan apa yang dirasai. Sama juga bagi penyokong parti pembangkang... tidak perlu merombak semula," katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar sebelum ini mencadangkan untuk merombak persatuan belia secara menyeluruh bagi memastikan badan itu tidak lagi diterajui individu daripada mana-mana parti politik, sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

Mengulas lanjut, Zambri berkata tidak dinafikan dalam Perlembagaan persatuan belia mewajibkan semua ahli perlu menyokong kerajaan yang memerintah, namun sokongan itu tidak bersifat membabi buta.

"Saya sendiri pernah mengkritik keras tindakan kerajaan terdahulu jika ia tidak selari dengan kepentingan Islam dan Melayu. Jadi, tidak timbul isu persatuan belia berat sebelah terhadap parti politik tertentu.

"GPMS bersedia untuk berkerjasama dengan kerajaan baharu supaya dapat bersama melaksanakan agenda yang boleh menaikkan golongan belia di mata dunia," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia FELDA, Muhammad Fazli Hasan, berkata pimpinan persatuan belia negara dibentuk melalui pemilihan oleh ahli dan bukannya lantikan politik.

"Syed Saddiq perlu menghormati proses penubuhan persatuan belia yang dilakukan secara demokasi dan bukan terus merombak hanya kerana merasakan kami berat sebelah.

"Tidak sepatutnya timbul isu sesebuah persatuan belia itu menjadi 'bayang-bayang' kepada parti politik tertentu kerana kami semua mempunyai pegangan politik masing-masing," katanya.

Berita Harian X