Sabtu, 4 Ogos 2018 | 10:51am
TIMBALAN Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood meninjau proses pengundian di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin di Klang, hari ini. - Foto Osman Adnan
TIMBALAN Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood meninjau proses pengundian di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin di Klang, hari ini. - Foto Osman Adnan

417 pengundi baharu pada PRK DUN Sungai Kandis

KLANG: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menyaksikan pertambahan seramai 417 pengundi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 51,217 pengundi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood, berkata pihaknya menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK ini pula sebanyak 80 peratus.

"Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 109 saluran dibuka bermula 8 pagi hingga 5.30 petang.

"SPR melakukan beberapa penambahbaikan termasuk mewujudkan dua saluran untuk pengundi yang berumur 60 tahun ke atas.

"Selain itu, sebanyak 21 saluran baru diwujudkan bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di setiap saluran, iaitu 109 saluran berbanding 88 saluran pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

"SPR juga membuka tiga petak di semua 109 saluran mengundi. Jadi tiga orang boleh mengundi pada satu-satu masa," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin di sini, hari ini. Hadir sama Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang juga Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Othman berkata, semua pengundi Dewan DUN Sungai Kandis dinasihatkan keluar mengundi awal bagi mengelakkan kesesakan serta kemungkinan cuaca hujan pada sebelah petang.

Seramai tiga calon akan bertanding pada PRK DUN Sungai Kandis iaitu Datuk Lokman Noor Adam dari Barisan Nasional (BN), calon Bebas, K Murthy dan Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang mewakili PKR.

Berita Harian X