Jumaat, 3 Ogos 2018 | 10:07pm
DATUK Kamal Khalid. - Foto Rohanis Shukri
DATUK Kamal Khalid. - Foto Rohanis Shukri

Mahadzir dikenang sebagai ikon TV3

KUALA LUMPUR: Pemergian Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman, 61, dianggap satu kehilangan besar dalam industri penyiaran berikutan tahap profesionalisme beliau yang tinggi sepanjang kerjayanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Kamal Khalid, berkata Allahyarham akan sentiasa menjadi ikon TV3 dan industri penyiaran tanah air.

Katanya, Media Prima begitu terhutang budi atas segala jasanya kepada rangkaian televisyen, malah menjadi idola dan model bagi pengamal industri media lain.

“Media Prima begitu terasa kehilangannya yang diibaratkan sebagai rakan istimewa dan turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahadzir disahkan meninggal dunia di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah, pagi tadi, selepas ditemui terbaring di bilik penginapannya.

Allahyarham memulakan kerjaya di TV3 pada 1984 sebagai penyampai berita bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pertama stesen televisyen itu.

Kebolehan Mahadzir bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk Perancis, Sepanyol, Itali dan Portugis menyaksikan beliau sering diundang sebagai pengacara pelbagai acara bertaraf antarabangsa.

Allahyarham juga pernah menerima anugerah Ordre Les Palmes Academiques oleh Kerajaan Perancis pada 2006 atas usaha beliau mempromosi bahasa dan budaya Perancis.

Berita Harian X