Jumaat, 3 Ogos 2018 | 5:30pm
MUHAMAD Muqharabbin Mokhtarrudin. - Foto NSTP
MUHAMAD Muqharabbin Mokhtarrudin. - Foto NSTP

Gelar NGO belia 'macai politik', kenyataan tidak matang

KUALA LUMPUR: Sebagai Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak wajar melabel pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia sebagai 'macai politik'.

EXCO Pemuda UMNO, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, berkata kenyataan yang dianggap 'tidak bijak' dan 'tidak matang' itu tidak patut dikeluarkan oleh seorang menteri.

Katanya, Syed Saddiq sepatutnya membuat 'ulang kaji' terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris pihak yang terbabit dalam gerakan NGO berkenaan.

"Adakah era Malaysia baharu bersikap tidak terbuka dengan golongan belia apabila sewenang-wenangnya melabel kepemimpinan mahupun ahli NGO belia sebagai 'macai politik'?

"Kenyataan beliau juga bermakna, Presiden Majlis Belia Kedah yang merangkap Ketua ARMADA (Angkatan Bersatu Anak Muda) Kedah juga adalah 'macai politik' Pakatan Harapan (PH).

"Kenyataan Syed Saddiq hanya menunjukkan beliau tidak 'study' sebelum mengeluarkan jawapan di Parlimen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Muqharabbin berkata, Syed Saddiq yang juga Ketua ARMADA harus lebih sensitif dalam membuat kenyataan selepas ini kerana mereka yang terbabit dalam NGO belia secara tidak langsung merangkumi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga dicop sebagai 'macai politik'.

Ini kerana, katanya, jawatan dalam kepemimpinan tertinggi dalam NGO belia seperti Majlis Belia Malaysia (MBM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Gerakan Belia 4B (Belia 4B) dipertandingkan dan bukan mendapatnya secara 'percuma' seperti jawatan Ketua ARMADA.

"Saya sarankan Syed Saddiq supaya melantik atau merujuk kepada pegawai lebih berpengalaman sebelum membuat sebarang kenyataan.

"Syed Saddiq adalah rakan saya walaupun kami kurang rapat. Tetapi, saya berhak untuk menegur beliau," katanya.

Persatuan belia negara akan dirombak dan dibersihkan supaya tidak lagi dilihat sebagai 'macai politik' kepada mana-mana parti politik.

Semalam, Syed Saddiq ketika menggulung usul titah diraja bagi pihak Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat, berkata persatuan belia negara akan dirombak dan dibersihkan supaya tidak lagi dilihat sebagai 'macai politik' kepada mana-mana parti politik.

Katanya, langkah itu bertujuan mengembalikan kuasa persatuan belia sebagai kumpulan pendesak dan pengkritik dalam menentukan hala tuju kerajaan.

Berita Harian X