Jumaat, 3 Ogos 2018 | 12:07am
GAMBAR fail, Presiden Majlis Belia Malaysia, Mua'amar Ghadafi Jamal. - Foto Asyraf Hamzah
GAMBAR fail, Presiden Majlis Belia Malaysia, Mua'amar Ghadafi Jamal. - Foto Asyraf Hamzah

Majlis Belia, GPMS membidas kenyataan Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan yang melabelkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia sebagai macai politik.

Presidennya, Mua'amar Ghadafi Jamal berkata pihaknya membantah kenyataan terbabit dan menuntut Syed Saddiq menjelaskan maksud sebenar 'macai politik' dengan mengemukakan bukti jelas dana MBM yang ditarik balik kerana mengkritik kerajaan.

"MBM berpandangan beliau tersilap dan terburu-buru melempar sangkaan terhadap kami dan pertubuhan belia sebagai 'macai politik'.

"Realitinya pertubuhan belia di negara ini bukanlah didaftarkan sebagai sayap parti politik dan bukanlah hanya dianggotai oleh belia yang terbabit dalam parti politik semata-mata.

"MBM ingin menegaskan ada juga pimpinan dan ahli yang tidak menyertai mana-mana parti politik, malah tidak berminat menyertai politik tetapi mereka bersama MBM dan persatuan belia yang rasmi ini sebagai wadah dan wahana bagi meningkatkan potensi diri serta berbakti kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mua'amar Ghadafi juga berkata sejarah kewujudan MBM sebelum Tanah Melayu dan Malaysia mencapai kemerdekaan, ia banyak menyumbang kepada semangat anak muda untuk mencapai kemerdekaan.

"Kami mewakili suara belia dalam negara dan sentiasa menyatakan pandangan dan kritikan membina serta bertanggungjawab dalam hal ehwal yang membabitkan belia.

"MBM bertindak sebagai 'rakan pembangunan' yang dilihat mesra bersama kerajaan, begitu jugalah mengkritik dalam medium dan saluran rasmi hatta pernah 'turun ke jalanan' menentang dasar dan polisi yang tidak memihak kepada rakyat," katanya.

Sebelum ini, ketika sidang Dewan Rakyat, Syed Saddiq mahu persatuan belia negara dirombak dan dibersihkan supaya tidak lagi dilihat sebagai macai politik kepada mana-mana parti politik.

Antara yang dinamakan adalah MBM, Gabungan Persatuan Mahasiswa Semenanjung (GPMS) dan Gerakan Belia 4B (Belia4B).

Sementara itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Perak, turut menyatakan pendirian yang sama.

Menerusi surat terbukanya, Pengerusi GPMS Perak, Hasnul Fairuz Hushin Amri, menzahirkan rasa dukacita dan terkilan dengan tindakan serkap jarang Syed Saddiq yang melabel GPSM sebagai macai politik.

Beliau berkata kewujudan NGO ini yang sudah bertapak lebih 70 tahun adalah untuk memperjuangkan pendidikan pelajar Melayu dan akan kekal menjadi kumpulan pendesak utama dalam membincangkan isu pendidikan.

Katanya, GPMS banyak melahirkan pemimpin utama malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah salah seorang pengasas dan pejuang GPMS dalam zamannya masing-masing.

"Selami dulu GPMS barulah berkata-kata. GPMS adalah NGO belia yang ahlinya mempunyai kepelbagaian ideologi, latar belakang dan pegangan politik.

"Barang kali kami adalah NGO tunggal di negara ini yang sedikit sebanyak sudah dan masih mampu menyatukan pelbagai fahaman di bawah satu payung pertubuhan belia dengan mengenepikan ideologi politik.

"Kami terima hakikat GPMS menerima suntikan dana daripada kerajaan tetapi harus diingatkan, bantuan tersebut bertujuan untuk menggerakkan program pendidikan dan motivasi pelajar yang jelas tiada unsur politik dalam apa jua bentuk sekalipun," katanya.

Berita Harian X