Sabtu, 28 Julai 2018 | 6:16pm
NAJIB ditemui media selepas majlis makan tengah hari di Restoran Pak Usop Ayam Kampung, di Shah Alam, hari ini. - Foto Muhammad Sulaiman
NAJIB ditemui media selepas majlis makan tengah hari di Restoran Pak Usop Ayam Kampung, di Shah Alam, hari ini. - Foto Muhammad Sulaiman

Pemisahan MARA sukarkan perkasa agenda Bumiputera

SHAH ALAM: Tanggungjawab untuk memperkasakan agenda Bumiputera mungkin sukar dilaksanakan jika Majlis Amanah Rakyat (MARA) dipisahkan dan diletakkan di bawah sesuatu kementerian.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, MARA adalah sebuah entiti yang besar dan sudah menjalankan peranannya dengan baik dan ia perlu dikekalkan demi menjamin masa depan masyarakat Bumiputera.

"Kalau terlalu berpecah sangat, dari segi tanggungjawabnya mungkin susah nak beri tumpuan untuk memastikan pelaksanaan segala program yang bersangkut paut dengan agenda Bumiputera.

"MARA adalah satu konglomerat yang besar, banyak cabangnya dan kita anggap ia adalah amat penting untuk masa depan Bumiputera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis makan tengah hari di Restoran Pak Usop Ayam Kampung, di sini, hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, pihaknya masih belum tahu perancangan sebenar kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenai masa depan MARA.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Setiausaha Agung UMNO selaku bekas Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa, bahawa badan itu akan dipecah dan dibahagikan kepada beberapa kementerian.

Annuar melalui status Twitter miliknya semalam memaklumkan MARA akan "dibahagi-bahagikan" kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Kementerian Pembangunan Usahawan (KPU), Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun menasihatkan Annuar supaya bersabar dan menunggu pengumuman rasmi Perdana Menteri.

Selain itu, Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof juga menyatakan tidak mendapat maklumat rasmi mengenai pemisahan MARA selepas isu terbabit tersebar di laman sosial.

Redzuan berkata, perkara itu sedang diperhalusi kerana ia membabitkan Akta Parlimen.

Berita Harian X