Sabtu, 28 Julai 2018 | 1:08pm
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid. - Foto Hafiz Sohaimi
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid. - Foto Hafiz Sohaimi

MARA mangsa kekejaman politik - Zahid

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi UMNO menentang keras sebarang usaha kerajaan merombak semula perniagaan teras Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk diletakkan di bawah beberapa kementerian menerusi konsep pengasingan dan penyerapan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jika usaha itu dilaksanakan, ia jelas menuju kepada fasa penutupan dan pemansuhan MARA yang selama ini banyak berjasa kepada pembangunan Melayu dan Bumiputera di seluruh negara.

Katanya, kewujudan MARA mengikut Akta Parlimen pada tahun 1996 dan ia sudah dibahas serta diluluskan di Dewan Rakyat, justeru sebarang rombakan haruslah dirujuk dan dibawa semula ke Parlimen untuk dibahaskan.

"UMNO amat dukacita jika perkara ini dilakukan dan beranggapan MARA tidak wajar menjadi mangsa kekejaman politik atau politik balas dendam.

"UMNO percaya usaha untuk memecah kecilkan MARA dan diletakkan dalam pelbagai kementerian akan menyukarkan MARA untuk mencapai matlamatnya membantu Melayu dan Bumiputera," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan Pakatan Harapan berhasrat untuk merombak MARA dan diletakkan di bawah beberapa kementerian seperti Kementerian Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, agensi MARA terbentuk dari resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama pada 1965 yang mahukan agenda perjuangan Bumiputera diperjuangkan.

Bermula dari RIDA, kemudian lahirnya MARA dan sehingga detik ini genaplah 52 tahun agensi ini menabur bakti terhadap masyarakat Bumiputera.

Ahmad Zahid berkata, UMNO bertegas supaya kerajaan mengekalkan MARA sebagai satu agensi amanah Bumiputera yang dapat meneruskan perjuangan seperti dihasratkan oleh Kongres Bumiputera menerusi seliaan satu kementerian.

"UMNO berharap kerajaan harus bertindak rasional menjaga kepentingan awam dengan mengekalkan agensi yang selama ini menjadi nadi kepada ekosistem masyarakat akar umbi.

"UMNO tetap akan mempertahankan MARA demi rakyat," katanya.

Berita Harian X