Sabtu, 28 Julai 2018 | 11:41am

37,986 kes HFMD direkodkan seluruh negara

SHAH ALAM: Sebanyak 37,986 kes penyakit tangan kaki dan mulut (HMFD) direkodkan di negara ini sejak Januari hingga 26 Julai lalu.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes berkenaan meningkat di semua negeri berbanding tahun lalu kecuali di Sarawak.

"Jumlah kes wabak HFMD yang dilaporkan adalah 1,903 dengan 539 premis ditutup di seluruh negara iaitu 241 taska, 259 tadika/pra-sekolah, dan beberapa kelas di 39 sekolah ditutup.

"Daripada 39 sekolah, sembilan daripadanya ditutup secara keseluruhan iaitu tujuh sekolah di Sabah dan masing-masing sebuah sekolah di Pahang dan Pulau Pinang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 peringkat Kebangsaan di Residensi Warnasari, Bandar Puncak Alam di sini, hari ini.

DR Dzulkefly Ahmad (tengah) bersama penduduk membersihkan sekitar kawasan perumahan pada Program Gotong Royong Mega 1.0 'Perangi Aedes' Peringkat Kebangsaan 2018 di Residensi Warnasari 1, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor. - Foto Faiz Anuar

Beliau berkata, Selangor mencatatkan kes yang paling tinggi iaitu 11,349 kes; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 4,428 kes serta Sarawak (4,412 kes).

Katanya, Kementerian Kesihatan turut bekerjasama dengan agensi dan syarikat berkaitan untuk pelaksanaan lima amalan bagi mengawal serta mencegah HFMD.

"Lima amalan berkenaan adalah penjagaan kebersihan diri, amalan cuci tangan yang betul, penjagaan kebersihan persekitaran, pemeriksaan saringan di pintu masuk taska, tadika, pra-sekolah dan sekolah serta disinfeksi atau nyahkuman permukaan yang tercemar.

"Buat masa ini 11 syarikat bekerjasama dengan pihak kementerian untuk kempen pencegahan HFMD dan antara yang sudah cergas menyediakan pencuci tangan antibakteria (sanitizers) dan risalah adalah Unilever dan Mundipharma," katanya.

DR Dzulkefly Ahmad (kiri) bersama penduduk membersihkan sekitar kawasan perumahan pada Program Gotong Royong Mega 1.0 'Perangi Aedes' Peringkat Kebangsaan 2018 di Residensi Warnasari 1, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor. - Foto Faiz Anuar

Sementara itu, jumlah terkumpul kes denggi seluruh negara adalah 38, 190 kes dengan 61 kematian sejak Januari hingga 21 Julai berbanding 55,744 kes dengan 131 kematian pada tempoh yang sama tahun lalu.

Dzulkefly berkata, Selangor mencatatkan kes paling tinggi iaitu 21, 648 kes dengan 17 kematian diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (3,488 kes, enam kematian); Johor (3,109 kes, tujuh kematian) dan Sabah (1,791 kes, 15 kematian).

"Saya juga ingin meminta penduduk bersepakat menubuhkan pasukan sukarelawan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) yang turut menjadi jentera penggerak untuk menjalankan kegiatan pencegahan denggi di kawasan setempat.

"Saya lihat, kes membabitkan denggi di kawasan yang mempunyai sukarelawan Combi berjaya dikurangkan kerana adanya kerjasama dalam pencegahan wabak berkenaan.

DR Dzulkefly Ahmad (duduk tengah) pada sidang media selepas Program Gotong Royong Mega 1.0 'Perangi Aedes' Peringkat Kebangsaan 2018 di Residensi Warnasari 1, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor. - Foto Faiz Anuar

Berita Harian X