Jumaat, 27 Julai 2018 | 5:28pm
KETUA Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM), Ahmad Yazid Othman. - Foto Sairien Nafis
KETUA Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM), Ahmad Yazid Othman. - Foto Sairien Nafis

Jangan usik MARA - MTEM

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak seharusnya 'diusik' atau dijadikan modal politik, sebaliknya ia perlu diperkasakan lagi bagi memastikan agensi itu dapat terus memainkan peranan utamanya untuk membantu rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM) , Ahmad Yazid Othman, berkata selama ini MARA sudah memiliki misi, visi dan objektif yang jelas iaitu membangunkan usahawan berjaya serta inovatif, selain melahirkan modal insan global dan berintegriti.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya menolak 100 peratus usaha memisahkan MARA kepada beberapa kementerian dan meminta kerajaan meneliti semula keputusan berkenaan.

"MARA tidak seharusnya 'diusik' sebaliknya peranannya perlu diperhalusi dan diperkasakan lagi supaya menjadi institusi pembangunan modal insan yang terunggul di negara ini.

"Ini kerana penubuhan badan berkanun itu adalah berdasarkan Perlembagaan negara dan ia seharusnya dilindungi serta dihormati.

"Namun, jika pemisahan tetap perlu dilakukan, MTEM menyarankan MARA berada di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana perancangan ekonomi yang strategik dan kepemimpinan beliau dapat membantu memperkasakan lagi peranan agensi berkenaan," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

MARA tidak seharusnya 'diusik' atau dijadikan modal politik. - Foto fail NSTP/Asyraf Hamzah
MARA tidak seharusnya 'diusik' atau dijadikan modal politik. - Foto fail NSTP/Asyraf Hamzah

Ahmad Yazid mengulas dakwaan bekas Pengerusi MARA yang juga Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengenai MARA yang dikatakan akan dipecah-pecahkan dan dibahagikan kepada beberapa kementerian.

Melalui status akaun Twitter miliknya malam kelmarin, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh memaklumkan MARA akan 'dibahagi-bahagikan' membabitkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Kementerian Pembangunan Usahawan (KPU), Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesyen (Peniagawati), Datuk Azlin Ahmad Shaharbi berkata, kerajaan perlu memastikan fungsi dan objektif MARA kekal dipelihara jika agensi itu dipisahkan.

Beliau berkata, pihaknya yakin pemisahan MARA kepada beberapa kementerian akan disusuli dengan penambahbaikan bagi meningkatkan lagi keberkesanan fungsi agensi berkenaan.

"Kerajaan pastinya memiliki alasan kukuh mengapa MARA perlu dipisah-pisahkan, namun sebagai badan bukan kerajaan (NGO), kami mahu kerajaan memastikan objektif dan peranan agensi itu terus dikekalkan.

"Ini kerana jika mengikut logik, pasti timbul isu berkaitan keberkesanan fungsi jika sesuatu agensi itu dibahagi-bahagikan kepada beberapa kementerian berlainan," katanya.

Azlin berkata, Peniagawati adalah antara NGO tertua iaitu sudah 38 tahun diwujudkan di negara ini dengan jumlah keahlian melebihi 2,000 orang di seluruh negara.

Katanya, NGO berkenaan akan sentiasa memberi sokongan kepada keputusan kerajaan memajukan lagi bidang perniagaan dan pembabitan wanita Bumiputera di negara ini.

"Dalam isu MARA, pandangan dan pembabitan NGO tidak wajar dipinggirkan memandangkan mereka lebih memahami keperluan serta kemahuan golongan bawahan terutama usahawan," katanya.

Berita Harian X