Khamis, 26 Julai 2018 | 8:29pm

Kekanda, adinda di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Bait-bait kemesraan dan penuh tertib mewarnai perbahasan sulung Kesavan Subramaniam (PH-PKR Sungai Siput) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau memulakan perbahasan dengan bertanya khabar kepada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, lalu dijawab penuh sopan: "Dengan izin, Alhamdulilah, terima kasih.

Kesavan kemudian mengucapkan terima kasih kepada menteri yang berada dalam Dewan Rakyat termasuk Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Dalam tutur bahasa Melayu yang fasih, Kesavan kemudian turut berterima kasih kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan merujuk bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai 'Kekanda Bagan Datuk'.

Ahmad Zahid yang mendapat laluan untuk mencelah, bingkas bangun bagi membalas ucapan itu dan mengucapkan tahniah kepada Kesavaran kerana terpilih sebagai Ahli Parlimen.

"Tahniah adinda saya kerana dinaikkan pangkat dari Dewan Undangan Negeri Hutang Melintang ke Parlimen Sungai Siput," katanya.

Turut mencelah, Datuk Zakaria Ederis (BN-UMNO Libaran) yang menyatakan istilah kekanda dan adinda bererti adik-beradik sedangkan Ahmad Zahid dan Kesavaran daripada parti yang berbeza.

"Nampaknya adinda dan kekanda ini melawan sesama sendiri dan kekanda iktiraf adinda sebagai keluarga, apa pendirian adinda sebenarnya," katanya.

Soalan Zakarian itu pantas dijawab Kor Ming: "Inilah keluarga Malaysia."

Kesavan menyambung ucapannya dengan menjawab kepada Zakaria: "Kekanda Libaran, kita di Malaysia walaupun berbeza warna kulit, bahasa, budaya dan agama tidak sepatutnya dijadikan kekangan untuk memutuskan tali persaudaraan."

Kesavan Subramaniam.
Berita Harian X