Rabu, 25 Julai 2018 | 1:31pm
MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (kiri) dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy.
MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (kiri) dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy.

Ramasamy, Asri bakal bertemu

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengadakan pertemuan tertutup dengan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata persetujuan diperoleh daripada kedua-dua pihak manakala beliau akan bertindak sebagai orang tengah dalam perbincangan terbabit.

Katanya, pertemuan itu antara lain akan membincangkan isu tuduhan kaitan Ramasamy dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

"Pertemuan tertutup ini akan diadakan di pejabat saya di Putrajaya secepat mungkin. Pelbagai tuduhan timbul di media sosial dan wujud keperluan untuk diadakan perbincangan dalam kalangan mereka terbabit.

"Maklum balas terkini menyatakan kedua-duanya bersetuju untuk bertemu manakala saya menjadi orang tengah.

"Pertemuan akan diadakan secara tertutup selepas mengambil kira keburukan yang boleh timbul jika dibuat dengan terbuka," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Mujahid berkata, keutamaan semua pihak ialah mencari penyelesaian dalam suasana harmoni, sekali gus mengakhiri segala tuduhan liar.

Katanya, pelbagai spekulasi akan dibangkitkan selagi mereka tidak berbincang dan menyelesaikan persoalan yang timbul.

"Prof Ramasamy adalah rakan saya dan beliau berperanan besar dalam membantu usaha perdamaian di Acheh," katanya.

Semalam, Mohd Asri dilaporkan meminta DAP menyatakan pendirian parti itu terhadap Ramasamy yang dikaitkan dengan kegiatan kumpulan pengganas LTTE.

Jumaat lalu, Ramasamy menafikan pembabitannya dengan LTTE, sebaliknya cuma dilantik sebagai perunding proses perdamaian antara kerajaan Sri Lanka dan LTTE pada 2003 atas kapasiti Pensyarah Ekonomi Politik dan Pengurusan Antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Berita Harian X