Selasa, 24 Julai 2018 | 5:20pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Cadangan TASKA tempat kerja terima pelbagai reaksi

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menggalakkan penubuhan taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di semua agensi dan jabatan kerajaan menjelang Januari tahun depan menerima pelbagai reaksi daripada banyak pihak.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu tepat pada masanya.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata inisiatif itu memudahkan ibu bapa yang tidak perlu bergegas menghantar atau mengambil anak ke TASKA yang jauh daripada tempat kerja.

Beliau berkata, isu berkenaan sebenarnya sudah lama dibangkitkan untuk diberi perhatian oleh kerajaan kerana ia membabitkan kebajikan pekerja dan keluarga.

"Dengan 60 peratus kakitangan awam adalah wanita, keputusan itu sangat tepat pada masanya," katanya.

Sementara itu, aktivis Kanak-kanak, Datin PH Wong, berkata walaupun langkah diumumkan kerajaan itu baik, elemen keselamatan dan kesihatan perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, berkata menguruskan TASKA di tempat kerja tidak semudah yang disangkakan kerana ia membabitkan kos tinggi walaupun mendapat subsidi daripada kerajaan.

"Ramai yang gagal kerana ia membabitkan kos tinggi dengan nisbah tenaga pengajar antara tujuh hingga lapan orang bagi 30 kanak-kanak bawah usia empat tahun.

"Begitu juga dengan aspek lain termasuk sijil kelayakan pengasuh, ciri keselamatan dan kesihatan makanan yang tidak boleh dipandang mudah," katanya.

Pengerusi TASKA PERMATA Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Dr Yasmin Anum Mohd Yusof, berkata majikan di pelbagai sektor patut merealisasikan TASKA di tempat kerja kerana ia menjadi antara faktor ramai wanita berhenti kerja.

Katanya, walaupun ia membabitkan kos tinggi tetapi ia memberi impak positif terhadap bidang kerjaya dan pembangunan ekonomi sesebuah keluarga.

"Aspek kualiti perlu diberikan perhatian dan berharap ia tidak direalisasikan sekadar melepaskan batuk di tangga," katanya.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan menyifatkan TASKA ditempat kerja sebagai tidak praktikal dan rumit untuk dilaksanakan.

Katanya beliau lebih tertarik dengan pusat penjagaan komuniti yang dibina di kawasan perumahan.

"Pusat penjagaan komuniti membantu perkembangan sosial kanak-kanak kerana ia diadakan di kawasan perumahan yang lebih sejahtera berbanding persekitaran pejabat yang kurang memberangsangkan," katanya.

Mengulas mengenai insentif ditawarkan termasuk pelepasan cukai kepada majikan, beliau berkata ia tidak menarik dan tidak praktikal.

Berita Harian X