Isnin, 23 Julai 2018 | 6:17pm
KAMPUNG Sungai Timun populasi utama kelip-kelip.
KAMPUNG Sungai Timun populasi utama kelip-kelip.

Tenang menyusuri keindahan alam

MENYUSURI sungai dengan bot dan memancing udang galah sambil melihat secara dekat sang buaya menjadi antara aktiviti pelancongan di pengkalan nelayan Kampung Sungai Timun Rembau, Negeri Sembilan.

Tidak cukup dengan itu, pelancong tempatan dan antarabangsa juga berpeluang melihat kelip-kelip di saat matahari terbenam kerana kampung Sungai Timun kaya dengan khazanah alam semula jadi.

Bagi membangunkan kawasan itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikatnya, TNB Research Sdn Bhd (TNB Research) melaksanakan program pembangunan dan pengurusan ekosistem yang lestari bagi pemuliharaan populasi kelip-kelip dan habitatnya.

Pemuliharaan kelip-kelip sepanjang 3.5 kilometer di sepanjang sungai itu bermula pada Mei tahun lalu membabitkan kajian menyeluruh terhadap habitat dan diversiti kawasan terbabit.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, usaha TNB ini berpotensi untuk menarik lebih ramai pelancong secara langsung dapat meningkatkan ekonomi penduduk.

"Pihak kami (kerajaan tempatan) menyambut baik usaha TNB meningkatkan produk pelancongan di kawasan itu. Ia berhampiran dengan Port Dickson dan dapat menjadi nilai tambah buat pengunjung untuk melakukan kegiatan malam selepas beriadah di laut.

Aminuddin (dua dari kanan) meninjau keadaan persekitaran Sungai Linggi.
Aminuddin (dua dari kanan) meninjau keadaan persekitaran Sungai Linggi.

Popular udang galah, buaya

"Sebelum ini, pada waktu malam pelancong tidak tahu apa aktiviti menarik yang boleh mereka lakukan. Tetapi dengan adanya kelip-kelip, kawasan ini mampu menarik lebih ramai pelancong datang ke sini," katanya ketika ditemui di majlis Aidilfitri TNB bersama ketua-ketua Komuniti Pusat Pelancongan Kelip-kelip Kampung Sungai Timun, Rembau.

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik.

Sementara itu, Aminuddin berkata kajian ke atas habitat kelip-kelip adalah usaha TNB dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah program melestarikan alam sekitar.

"Kajian yang menelan perbelanjaan sebanyak RM5.4 juta itu merangkumi empat kawasan terpilih iaitu Sungai Timun, Rembau, Negeri Sembilan; Kampung Kuantan, Kuala Selangor; Kampung Yak Yah, Kemaman, Terengganu dan Kampung Dew, Taiping, Perak.

"Kajian meliputi penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap populasi kelip-kelip, serangga, tahap pencemaran, kesan perubahan guna tanah terhadap kelip-kelip dan sebagainya," katanya.

Mohd Aminuddin berkata, program CSR itu akan mewujudkan persekitaran alam sekitar yang lebih baik kepada masyarakat setempat disamping menjalankan perniagaan utama syarikat itu sebagai penjana elektrik terbesar negara.

"Melalui pelaksanaan ini diharap populasi kelip-kelip dan habitatnya kekal terpelihara sebagai khazanah alam yang sewajarnya dibanggakan malah ia berpotensi besar sebagai sumber ekonomi kepada penduduk dan kerajaan tempatan," katanya.

Sementara itu, Ketua (Unit Kawalselia & Sains Kitaran) TNB Research, Shahril Mod Hussin menyifatkan bahawa program melestarikan kawasan Sungai Timun itu turut dijadikan landasan perkongsian ilmu bersama komuniti setempat dan pelajar sekolah berhubung kepentingan memelihara kualiti alam sekitar.

Beliau berkata, antara program yang dirancang sepanjang projek itu berlangsung termasuk menanam pokok berembang iaitu tumbuhan yang menjadi habitat kelip-kelip.

Aminuddin Harun (lapan dari kanan) bergambar beramai ramai bersama penduduk kampung Sungai Timun ketika hadir ke Majlis Aidilfitri TNB Bersama ketua ketua Komuniti Pusat Perlancongan Kelip Kelip Kampung Sungai Timun, Rembau.
Aminuddin Harun (lapan dari kanan) bergambar beramai ramai bersama penduduk kampung Sungai Timun ketika hadir ke Majlis Aidilfitri TNB Bersama ketua ketua Komuniti Pusat Perlancongan Kelip Kelip Kampung Sungai Timun, Rembau.

Tanam benih pokok berembang

"Kumpulan yang terbabit dalam program ini turut menjalani aktiviti dalam kumpulan berdasarkan modul iaitu penggunaan peta, penerangan mengenai kualiti air sungai, tumbuh-tumbuhan dan kelip-kelip.

"Selain menaiktaraf kawasan perkampungan Sungai Timun ini, TNB turut memberi peluang kepada penduduk setempat terutama dalam menjana ekonomi keluarga seperti dilakukan di Kuala Selangor iaitu menanam benih pokok berembang untuk dijual," katanya.

Bagi pengerusi Persatuan Nelayan Sungai Timun, Aziz Salim, 63, projek pemuliharaan habitat kelip-kelip ini boleh dijadikan nilai tambah sebagai pusat pelancongan berikutan kawasan itu juga popular dengan udang galah dan buaya.

"Ramai pelancong dari luar negara terutama China, Taiwan dan Singapura yang beriadah di Port Dickson akan datang ke sini hanya untuk menyusuri sungai menikmati keindahan alam sekitar disamping melihat sendiri buaya sungai dan udang galah secara dekat.

"Melalui pemuliharaan ini diharap dapat meningkatkan lagi kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara ke kampung ini untuk merasai aktiviti menaiki bot pada waktu siang. Pada waktu malam pula boleh melihat kelip-kelip yang banyak secara dekat," katanya.

Berita Harian X