Ahad, 22 Julai 2018 | 4:12pm
PENGASAS dan Pengetua pusat berkenaan Datuk Mohd Kazim Elias
PENGASAS dan Pengetua pusat berkenaan Datuk Mohd Kazim Elias

Status Unit Tahfiz al-Quran Al Barakah diketahui Ogos ini

IPOH: Keputusan sama ada operasi Unit Tahfiz al-Quran Al Barakah di Pusat Pendidikan Al Barakah di Manjoi di sini akan diteruskan atau sebaliknya, dijangka diketahui 5 Ogos depan selepas perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri selesai.

Pengasas dan Pengetua pusat berkenaan Datuk Mohd Kazim Elias berkata, beliau telah berbincang dengan beberapa pengendali pusat tahfiz yang berminat mengambil alih pengurusan serta kakitangan dan pelajar pusat pendidikan itu.

Bagaimanapun katanya jika perkara itu tidak menjadi kenyataan, beliau akan cuba mengurangkan skop dari segi tenaga pengajar dan sistem pembelajaran dengan hanya memberi fokus kepada pengajian tahfiz semata-mata.

"Ini bermakna tidak ada lagi bidang akademik seperti SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), Bahasa Mandarin, Tamil atau Cina yang akan diajar di pusat pendidikan ini.

"Namun saya rasa berat (buat keputusan mengurangkan skop tenaga pengajar dan pembelajaran) sebab saya mahu pelajar tahfiz ini menjadi seorang yang profesional," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pernikahan pasangan warga emas yang belajar di pusat pendidikan itu, di sini hari ini.

Pusat Pendidikan Al-Barakah yang beroperasi pada 2006 mempunyai tiga unit iaitu Tahfiz al-Quran, Pondok Pengajian Dewasa dan Tadika Nurul Barakah.

Dalam pada itu, Mohd Kazim turut mendedahkan pihaknya telah menerima sumbangan sebanyak RM150,000 daripada kerajaan negeri Perak baru-baru ini bagi membantu pengurusan pusat pendidikan berkenaan.

"Terima kasih kerana prihatin dengan kekangan kewangan pusat pendidikan ini dan saya sedang menunggu tarikh serta masa sesuai untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar (Ahmad Faizal Azumu)," katanya.

Sebelum ini, Ahmad Faizal berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Mohd Kazim untuk mengenal pasti kaedah sesuai bagi membolehkan pusat pendidikan itu terus beroperasi seperti biasa berikutan kekangan kewangan yang dihadapinya.

Mohd Kazim turut melahirkan rasa syukur kerana beliau mula menerima pelbagai jemputan program ceramah dan kuliah sejak isu berkenaan dilaporkan pihak media dan tular di media sosial.

"Saya mula menerima kembali tawaran program ceramah agama di stesen televisyen swasta dan pelbagai pihak telah menjemput saya untuk menyampaikan ceramah dan kuliah.

"Jemputan ceramah dan kuliah kembali normal sehingga 50 peratus dan kemungkinan bulan September ini ia akan kembali pulih seperti sebelum ini," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X