Sabtu, 21 Julai 2018 | 7:45pm

Suara rakyat dalam pembangunan KL

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen di Kuala Lumpur akan terbabit secara langsung dalam perancangan pembangunan di ibu negara dengan tertubuhnya Majlis Mesyuarat Menteri.

Menteri Wilayah, Khalid Samad, berkata majlis yang mengadakan mesyuarat pertamanya, semalam itu memberi ruang kepada wakil rakyat menyuarakan pandangan mereka kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memastikan sebarang perancangan yang akan dilaksanakan lebih teratur, telus dan bertanggungjawab.

Katanya, di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu, Ahli Parlimen yang membawa suara rakyat itu tidak dibabitkan dalam rancangan pembangunan Kuala Lumpur menyebabkan beberapa pelaksanaan pembangunan di kawasan tertentu tidak diketahui wakil rakyatnya.

"Dahulu, Ahli Parlimen ini daripada pembangkang, jadi mereka tidak diberi ruang. Jika ada aduan, baru akan diberikan perhatian.

"Justeru, melalui majlis yang akan bermesyuarat dua bulan sekali ini, Ahli Parlimen akan memainkan peranan mereka dalam merancang pembangunan Kuala Lumpur, selain terbabit dalam bajet serta semua program DBKL," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pesta Durian Vaganza di Taman Equestrian Putrajaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Putrajaya Leisures & Services Group Sdn Bhd, Datuk Badlishah Ahmad.


KHALID mengagihkan durian kepada pengunjung pada Pesta Durian Vaganza di Taman Ekuestrian Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Sementara itu, Khalid berkata, Pesta Durian Vaganza adalah antara usaha untuk memperkenalkan Kelab Equestrian Putrajaya sebagai produk pelancongan yang menawarkan pelbagai kemudahan, bukan hanya eksklusif untuk peminat sukan berkuda.

Pada program yang bermula sejak jam 3 petang itu, sebanyak enam tan durian disajikan kepada penggemar raja buah itu dengan dikenakan sedikit bayaran, selain penganjur turut menyediakan aktiviti sampingan seperti sukan berkuda, permainan layang-layang, buih dan memanah.

Berita Harian X