Rabu, 18 Julai 2018 | 5:20pm
SYED Jamarulkhan (tengah) pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
SYED Jamarulkhan (tengah) pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Dakwaan menteri tidak adil - MIMCOIN

PETALING JAYA: Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (MIMCOIN) menyifatkan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail, mengenai 30 peratus restoran mamak di seluruh negara tidak mengurangkan harga makanan sebagai tidak adil.

Presidennya, Datuk Syed Jamarulkhan S Kadir, berkata pandangan itu tidak menggambarkan situasi sebenar, malah ia menunjukkan imej negatif terhadap restoran mamak, seolah-olah mereka tidak jujur dalam menjalankan perniagaan.

Katanya, peratusan seharusnya dikeluarkan mengikut operator, bukannya mengikut kaum.

"Kalau mengikut kaum, kami kira kenyataan itu sebagai perkauman," katanya di sidang media di sini, hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Agung MIMCOIN, Shahul Hameed Dawood.

MIMCOIN dianggotai lebih 2,000 ahli di seluruh negara dan dinaungi 62 jenis perniagaan, termasuk restoran mamak.

Sidang media berkenaan diadakan berikutan MIMCOIN tersinggung dengan kenyataan Saifuddin Nasution minggu lalu yang mendakwa 30 peratus restoran mamak di seluruh negara tidak mengurangkan harga makanan, walaupun pelaksanaan sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak 1 Jun lalu.

Peratus itu diperoleh menerusi tinjauan perbandingan harga makanan dilakukan kementerian berkenaan pada Mei dan Jun lalu.

Syed Jamarulkhan, berkata MIMCOIN menyokong kepimpinan kerajaan baharu, termasuk usaha memastikan restoran tidak mengenakan caj keterlaluan terhadap pelanggan, namun pada masa sama perlu memberi gambaran lebih jelas dan tidak mengelirukan orang ramai.

"Kami sedia menerima teguran dan komen tetapi biarlah berasas dan bukan tuduhan melulu," katanya.

Mengenai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dilaksana September ini, beliau berharap kerajaan tidak mengenakan SST kepada pengusaha restoran kecil dan sederhana agar mereka dapat mengekalkan harga seperti dalam tempoh GST sifar sekaligus memberi manfaat kepada pengguna.

"Harga makanan dan minuman hanya boleh turun jika perkara asas seperti tarif elektrik Tenaga Nasional berhad (TNB), sewa kedai dan kos pengangkutan turun.

"Pengguna kena faham mengenai kos pengeluaran. Dulu kita ada subsidi gula dan tepung dan ia mainkan peranan dalam penurunan harga. Tetapi sekarang tidak lagi, kami terpaksa menyerap kos berkenaan.

"Sekiranya kerajaan mengembalikan subsidi gula dan tepung, kami yakin memang harga makanan akan turun di semua pengusaha restoran," katanya.

Berita Harian X