Isnin, 16 Julai 2018 | 7:17pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendahului senarai mengangkat sumpah ketika Majlis Angkat Sumpah dan Persidangan Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur. - Foto Asyraf Hamzah

Sejarah tercipta, PH di blok kanan, BN pembangkang

KUALA LUMPUR: Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 yang memulakan mesyuarat pertamanya hari ini mencatat sejarah tersendiri dengan menyaksikan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Barisan Nasional (BN) yang pernah menjadi kerajaan selama enam dekad, kini berada di blok pembangkang bersama PAS dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) dipilih sebagai Ketua Pembangkang.

Mesyuarat pertama jam 10 pagi hari ini bermula dengan urusan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat disusuli majlis mengangkat sumpah seramai 221 Ahli Parlimen, termasuk 90 yang pertama kali masuk dewan.

Bagaimanapun, hari pertama Dewan Rakyat bersidang terganggu dengan kekecohan dicetuskan pembangkang yang bertindak keluar dewan membantah pelantikan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Yang Dipertua yang baharu.

Bantahan dimulakan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) yang bangkit dan menggunakan Peraturan Mesyuarat, membuat usul bahawa pelantikan Mohamad Ariff tidak mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) yang memerlukan nama calon diusulkan dalam tempoh 14 hari sebelum Dewan Rakyat bersidang.

Kekecohan itu mengakibatkan hampir semua Ahli Parlimen pembangkang keluar dewan kerana tidak berpuas hati terhadap pelantikan itu kecuali Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak terganggu dengan protes daripada pihak pembangkang dan terus membaca usul pelantikan Mohamad Ariff sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pelantikan Mohamad Ariff, yang juga bekas hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, dicadangkan Dr Mahathir (PPBM-Langkawi) dan disokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Pandan).

Pelantikan itu disahkan Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah kerana hanya satu nama yang diterima untuk pelantikan jawatan itu.

Mohamad Ariff ketika ditemui media selepas majlis itu menegaskan pelantikannya tidak bercanggah Perkara 4(1) Peraturan Mesyuarat seperti didakwa pembangkang.

Katanya, surat mencalonkan namanya diserahkan pada 2 Julai lalu, iaitu 14 hari sebelum persidangan Parlimen.

Sementara itu, Dr Mahathir menyifatkan tindak tanduk pembangkang itu sekadar sandiwara dan menegaskan PH tidak terikat dengan manifesto untuk melantik Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam kalangan Ahli Parlimen.

Pelantikan Mohamad Ariff itu sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak sebelum ini yang mendakwa Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang akan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

Bagaimanapun, pembangkang menganggap pelantikan itu boleh dicabar di Mahkamah Persekutuan.

Ahmad Zahid menegaskan keputusan keluar Dewan Rakyat dibuat disebabkan proses pelantikan itu tidak menghormati Peraturan Mesyuarat 4(1) seperti dibangkitkan Takiyuddin.

Sementara itu, pada majlis itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon (PKR) dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming (DAP) dipilih sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat melalui undi bersurat dalam kalangan Ahli Parlimen.

Berdasarkan undi, Rashid memperoleh 171 undi, manakala Kor Ming mendapat 124 undi. Pencalonan Mohd Rashid dan Kor Ming diusulkan Dr Mahathir, manakala Datuk Seri Ronald Kiandee (BN-Beluran) yang mendapat 93 undi dicalonkan oleh Ahmad Zahid.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari berakhir 16 Ogos ini. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V akan merasmikan serentak persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara esok.

Berita Harian X