Sabtu, 7 Julai 2018 | 4:03pm
TENGKU Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bergambar bersama orang ramai pada majlis Hari Raya Aidilfitri Persatuan Veteran Radio Televisyen Malaysia (PVRTM) di Dewan Cendekiawan, Angkasapuri. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
TENGKU Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bergambar bersama orang ramai pada majlis Hari Raya Aidilfitri Persatuan Veteran Radio Televisyen Malaysia (PVRTM) di Dewan Cendekiawan, Angkasapuri. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Penaung Diraja PVRTM cemar duli majlis Hari Raya

KUALA LUMPUR: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke majlis Hari Raya Aidilfitri Persatuan Veteran Radio Televisyen Malaysia (PVRTM) di Dewan Cendekiawan, Angkasapuri.

Ini adalah kali pertama baginda mencemar duli ke majlis anjuran PVRTM sejak dilantik sebagai Penaung Diraja pada 2 April lalu.

Presiden PVRTM, Latiffah Sidek, berkata ia adalah detik bersejarah bagi persatuan ini yang kini mempunyai Tengku Permaisuri Selangor.

Katanya sejak 23 tahun penubuhan PVRTM, ahlinya kini mencecah lebih 900 orang dari seluruh negara.

"Saya berbesar hati menerima kehadiran Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang dahulunya juga pernah bertugas sebagai penyiar RTM selama 20 tahun.

"Setiap tahun sambutan Hari Raya akan diraikan oleh ahli PVRTM, namun tahun ini lebih bermakna dengan kehadiran baginda, selain sambutan ulangtahun PVRTM ke-23," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Pada majlis terbabit, Tengku Permaisuri Norashikin turut menyerahkan sumbangan berbentuk hamper kepada 11 ahli PVRTM.

PVRTM ditubuhkan sejak 1995 dengan keahlian daripada kalangan pesara RTM.

Berita Harian X