Sabtu, 7 Julai 2018 | 12:07pm
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin hadir ke pengkebumian bekas Panglima TLDM Tan Sri Ilyas Din di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Selayang. - Foto BERNAMA
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin hadir ke pengkebumian bekas Panglima TLDM Tan Sri Ilyas Din di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Selayang. - Foto BERNAMA

Jenazah bekas PTL dikebumi penuh istiadat

KUALA LUMPUR: Pengebumian bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Ilyas Din, di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Selayang, dilaksanakan dengan penuh adat-istiadat ketenteraan pasukan itu di sini, pada 10 pagi tadi.

Ilyas, 67, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Datuk Keramat, di sini, pada 10.10 malam tadi akibat serangan jantung dan komplikasi buah pinggang.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata Allahyarham yang dilantik sebagai Panglima TLDM pada 28 April 2005, juga dikenali sebagai 'Bapa Kualiti TLDM'.

"Beliau juga adalah faktor pendorong yang membawa kepada kejayaan Markas Armada memperoleh persijilan MS ISO 9001:2000 pada 2003.

"Allahyarham adalah individu yang mewujudkan dan memulakan sistem atau konsep 'Kaizen' yang juga satu kaedah kualiti di Jepun bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti dalam organisasi TLDM.

"Kualiti yang diterapkan beliau itu sudah pun dibudayakan dalam TLDM sehingga hari ini," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, hadir ke pengebumian bekas Panglima TLDM, Tan Sri Ilyas Din, di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Selayang. - Foto BERNAMA

Kamarulzaman berkata, seluruh warga atau keluarga 'Navy People' amat merasa sedih atas pemergian beliau selain merasai satu kehilangan yang amat besar dalam pasukan laut berkenaan.

"Sebagai penghormatan besar, buat pertama kalinya TLDM menjalankan upacara atau istiadat mengiring dan mengusung jenazah beliau oleh 75 pegawai TLDM semasa proses pengebumian di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah di Selayang.

"Selain itu, semua kapal-kapal dan aset di dalam pangkalan TLDM di seluruh negara akan menurunkan panji-panji separuh tiang sehingga matahari terbenam pada hari ini sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham," katanya.

Allahyarham Tan Sri Ilyas Din meninggalkan seorang isteri Puan Sri Meryam Harun dan tiga anak iaitu Mohd Azrai, Nuratika dan Nurameera.

Kamarulzaman berkata, di dalam pasukan TLDM, kebajikan semua warga dan ahli keluarga serta bekas-bekas pegawai dan anggota sentiasa dijaga selaras dengan konsep kekeluargaan 'Navy People' iaitu dijaga dari buaian sehinggalah ke liang lahad.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan anak kedua Allahyarham, Nurartikah, 35, berkata arwah bapanya adalah seorang yang sangat tegas namun penyayang.

"Arwah sentiasa memberi sokongan kepada ketiga-tiga anaknya dan sentiasa mengingatkan kami supaya sentiasa merendah diri, mengutamakan keluarga walaupun sibuk bekerja.

"Arwah bapa saya memang seorang yang mempunyai minat mendalam dalam ketenteraan sejak beliau remaja lagi," katanya.

Allahyarham Ilyas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selama sembilan hari selepas serangan jantung akibat komplikasi buah pinggang dan menerima rawatan dialisis sebelum dibawa pulang ke rumah dan menghembuskan nafas terakhir semalam.

Berita Harian X