Rabu, 4 Julai 2018 | 9:34pm
KENDERAAN membawa Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dilihat meninggalkan kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta kira-kira jam 8.45 malam ini. - Foto Aswadi Alias
KENDERAAN membawa Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dilihat meninggalkan kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta kira-kira jam 8.45 malam ini. - Foto Aswadi Alias

Kenderaan pemimpin UMNO dilihat tinggalkan kediaman Najib

KUALA LUMPUR: Kenderaan membawa Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom; bekas Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Shirlin; Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hassan Ariffin dilihat meninggalkan kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta kira-kira jam 8.45 malam ini.

Sebelum itu, kenderaan semua pemimpin UMNO berkenaan dilihat memasuki perkarangan rumah Najib secara berperingkat sejak jam 6 petang lagi.

Difahamkan, kehadiran mereka bagi menyatakan sokongan terhadap Najib yang dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta.

Semalam, Najib ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya kira-kira jam 2.35 petang dan bermalam di lokap Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Hari ini, Najib dibawa ke Mahkamah Jalan Duta bagi proses pendakwaan terhadap empat pertuduhan iaitu tiga dakwaan kerana pecah amanah dan satu dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Bagaimanapun, Najib tidak mengaku salah dan minta dibicarakan sebelum Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Sofian Abd Razak membenarkan jaminan RM1 juta.

Najib kemudian dibebaskan dan pulang ke rumahnya selepas anaknya menyerahkan separuh daripada wang ikat jamin RM1 juta, petang tadi.

Najib juga diminta untuk menyerahkan dua pasport miliknya iaitu pasport diplomatik dan pasport awam kepada mahkamah.

Berita Harian X