Selasa, 3 Julai 2018 | 1:23pm

MINDEF bantu hantar pulang rangka ke New Zealand

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan membantu Tentera New Zealand (NZDF) membawa pulang 28 rangka termasuk rangka seorang kanak-kanak dari negara itu untuk disemadikan di sana pada 20 Ogos depan.

Semua rangka membabitkan anggota NZDF dan keluarga mereka yang meninggal dunia ketika berkhidmat di negara ini serta Vietnam itu akan diserahkan kepada keluarga masing-masing dalam satu upacara di Auckland.

Unit Komunikasi Korporat MINDEF menerusi satu kenyataan, hari ini, memaklumkan misi penghantaran pulang itu dinamakan 'Operasi Te Auraki (The Return atau Pulang) sebagai komitmen MINDEF dan Kerajaan Malaysia membantu Kerajaan New Zealand menjayakan misi berkenaan.

"Misi penghantaran pulang itu membabitkan mereka yang meninggal dunia ketika berkhidmat di Vietnam dan Malaysia dari tahun 1955 hingga 1971.

"Sepanjang tempoh 16 tahun itu, terdapat 34 anggota dan ahli keluarga NZDF terkorban di negara ini," kata kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, enam rangka anggota NZDF yang disemadikan di negara ini belum mendapat persetujuan keluarga untuk dibawa pulang.

"Seramai 27 rangka askar NZDF dan seorang kanak-kanak yang juga ahli keluarga anggota tentera itu yang berkhidmat di Malaysia akan digali.

"Proses penggalian dilakukan selama 48 hari bermula hari ini di Tanah Perkuburan Komanwel Terendak, Tanah Perkuburan Kristian Taiping dan Tanah Perkuburan Komanwel Cheras," katanya.

Menurut kenyataan itu, misi terbabit dimulakan susulan kejayaan Malaysia membantu Kerajaan British dalam Operasi Dakota pada tahun 2008, Operasi Gangga bersama Kerajaan Amerika Syarikat (2015) dan Operasi Reunites bersama Australia (2016).

"Pelaksanaan Operasi Te Auraki ini dilihat membuka lembaran baharu dalam kerjasama profesional antara Malaysia dan New Zealand khususnya dalam bidang arkeologi forensik.

"Pasukan penggalian MINDEF membabitkan pegawai Muzium Tentera Darat Port Dickson, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan Malaysia, Agensi Nuklear Malaysia, Pusat Penyelidikan Arkeologi Global dan Institut Alam Tamadun Melayu Kementerian Pengajian Tinggi," katanya.

Penggalian turut disertai pakar dari beberapa universiti tempatan yang arif dalam bidang antropologi, patologi, odontologi, forensik radiologi dan arkeologi bagi mengenal pasti dan pengesahan mangsa.

Berita Harian X