Isnin, 2 Julai 2018 | 6:33pm
MENTERI Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim, bersama Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin (kiri), bersalaman dengan kakitangan pada hari pertama di Kementerian Industri Utama di Putrajaya. - Foto Saifullizan Tamadi

Kementerian Industri Utama tumpu 4 bidang

PUTRAJAYA: Menumpukan pendekatan mesra pelabur dan mesra perniagaan, memelihara kebajikan pekebun kecil, meningkatkan kebolehpasaran produk dan meneroka pasaran baharu serta memantapkan industri hiliran sektor komoditi antara bidang yang akan diberi tumpuan oleh Kementerian Industri Utama.

Kementerian itu dahulunya dikenali sebagai Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Menterinya, Teresa Kok, berkata agenda utamanya adalah memastikan industri utama mengekalkan kedudukannya sebagai antara penyumbang utama kepada pendapatan eksport negara.

Beliau berkata, jumlah nilai dagangan bagi sektor komoditi yang berjumlah RM179.8 bilion, masih lagi kekal sebagai pengeksport bersih terbesar dengan merekodkan imbangan dagangan sebanyak RM100.8 bilion berbanding sektor lain seperti elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak RM90.1 bilion serta petroleum dan gas (O&G) sebanyak RM36 bilion.

"Fungsi dan peranan kementerian ini adalah memastikan kelangsungan industri komoditi merentasi keseluruhan rantaian nilai dari peringkat huluan hingga ke hiliran akan menjadi keutamaan saya dengan berpaksikan pembangunan mampan dalam pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti negara," katanya dalam sidang media selepas memasuki pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau tiba di kementeriannya pada jam 3 petang dan disambut timbalannya, Shamsul Iskandar Md Akin dan Ketua Setiausahanya, Datuk Zurinah Pawanteh.

Kok dan Shamsul Iskandar mengangkat sumpah bagi portfolio masing-masing awal hari ini di Istana Negara.

Bagi tempoh Januari hingga April 2018, pendapatan eksport produk komoditi sebanyak RM43.5 bilion atau 13.5 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara, susut 7.1 peratus berbanding RM46.8 bilion tempoh sama tahun lalu.

Nilai sumbangan produk komoditi kepada pendapatan eksport komoditi bagi tempoh Januari hingga April 2018 terus diterajui oleh produk sawit berjumlah RM24.2 bilion (55.5 peratus), diikuti getah RM10.2 bilion (23.5 peratus), kayu-kayan RM7.2 bilion (16.5 peratus), koko RM1.7 bilion (3.8 peratus), tembakau RM180.7 juta (0.4 peratus) dan lada RM74.6 juta (0.2 peratus).

Berita Harian X