Isnin, 2 Julai 2018 | 12:41pm
 MENTERI Besar Terengganu, Dr Samsuri Mokhtar menyerahkan titah ucapan kepada Sultan Mizan Zainal Abidin pada Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal pertama ke-14 di Wisma Darul Iman. - Foto Rozainah Zakaria
MENTERI Besar Terengganu, Dr Samsuri Mokhtar menyerahkan titah ucapan kepada Sultan Mizan Zainal Abidin pada Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal pertama ke-14 di Wisma Darul Iman. - Foto Rozainah Zakaria

Eratkan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan - Sultan Mizan

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin mahu Kerajaan PAS Terengganu menjalinkan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dan menolak perbezaan politik bagi menjamin kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Baginda bertitah, pengukuhan hubungan antara kedua-dua pihak itu juga bukan hanya dapat memberi manfaat kepada kerajaan negeri malah dapat memacu pembangunan di negeri ini.

"Beta menyeru kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan selain agensi serta badan berkanun dipereratkan lagi bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

"Beta juga berharap semua ahli yang berhormat tanpa mengira fahaman politik akan bekerjasama dan bersatu hati dalam memajukan negeri ini ke arah Terengganu Maju dalam segala bidang," titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Sultan Mizan turut meminta kerajaan PAS yang baru diberi mandat mentadbir negeri ini supaya meneruskan kesinambungan pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini namun pada masa sama melakukan penambahbaikan bagi menzahirkan matlamat menjadikan Terengganu negeri maju dan berpendapatan tinggi.

"Sehubungan itu, menjadi hasrat beta supaya kerajaan ini dapat merangka, merancang dan melaksanakan program untuk meningkatkan tahap sosio ekonomi dan kemakmuran negeri.

"Beta juga berharap pentadbiran kerajaan negeri dapat memastikan pengurusan kewangan diuruskan secara berhemat dan perbelanjaan negeri dipantau dengan teliti.

"Tumpuan hendaklah dijuruskan kepada program dan projek yang dapat mengatasi masalah rakyat dalam suasana ekonomi mencabar hari ini.

"Besar harapan beta supaya hasil untuk 2018 sebanyak RM1.815 bilion dapat dicapai dan mampu diurus dengan baik melalui perancangan belanjawan yang memberi impak positif kepada negeri dan rakyat," titah baginda.

Berita Harian X