Khamis, 14 Jun 2018 | 3:38pm
PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Owee Ah Chun

Pastikan sukan rekreasi lasak selamat - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Kemalangan yang membabitkan pertembungan jet ski dan meragut nyawa seorang budak, Jordan Phang Wen Jie, 9, di Batu Feringgi, Ahad lalu, jelas menunjukkan langkah drastik harus diambil bagi memastikan keselamatan sukan air di negara ini selamat.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata langkah tegas dan proaktif perlu dilakukan dalam aktiviti rekreasi bagi mengelak kecelakaan hingga boleh membunuh apabila ia membabitkan peralatan atau mesin.

Katanya, antara perkara yang perlu diambil perhatian khusus dalam aktiviti lasak adalah kesesuaian masa, keadaan cuaca berangin atau tidak, penglihatan terhad terutama pada waktu lewat senja yang boleh menjadi punca kepada kemalangan maut.

"Penggunaan jet ski adalah berisiko, justeru operasi standard (SOP) perlu diambil berat oleh penunggang dan pembonceng. Kemahiran, umur dan kelayakan fizikal penunggang dan pembonceng perlu di ambil kira.

"Alat perlindungan diri juga perlu ditambah, selain daripada penggunaan jaket keselamatan yang bertujuan mengelakkan lemas. Keperluan topi keselamatan dan pelindung keras belakang badan boleh diguna pakai memandangkan kes pelanggaran ini amat membimbangkan," katanya dalam satu kenyataan.

Ahad lalu, seorang kanak-kanak berusia 9 tahun maut dalam kemalangan jet ski yang dipandu oleh tenaga pengajar akibat angin kuat dan hilang kawalan hingga berlanggar dengan jet ski lain.

Mangsa mengalami kecederaan serius di otak, saraf tunjang di tulang belakang akibat kesan hentakan.

Katanya, walaupun kemalangan di kawasan rekreasi dan tarikan pelancong ini kerap berlaku, sudah tiba masanya prosedur keselamatan diberikan perhatian.

"Kewujudan punca bahaya serta risiko perlu diambil kira memandangkan kita mempunyai kepelbagaian aktiviti rekreasi yang lasak selain daripada pertambahan bilangan pelancong," katanya.

Berita Harian X