Khamis, 14 Jun 2018 | 1:49pm
PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York. - Foto Reuters
PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York. - Foto Reuters

Malaysia terus sokong perjuangan Palestin

PUTRAJAYA: Malaysia mengalu-alukan penerimaan resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang bersidang pada Perhimpunan Agung UNGA di New York, semalam.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Malaysia mengundi dengan memihak resolusi itu sejajar sokongan sejak sekian lama dan tidak goyah terhadap Palestin.

Katanya, Malaysia turut mengundi dengan memihak kepada Resolusi Baitulmaqdis pada sidang khas UNGA 21 Disember tahun lalu.

"Resolusi yang menerima 120 undi, lapan undi menolak manakala 45 undi berkecuali itu menyeru perlindungan terhadap rakyat Palestin daripada pencerobohan Israel khususnya di Semenanjung Gaza, selain kewajipan dalam menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan mengutuk tindakan ganas terhadap orang awam.

"Justeru, resolusi ini memerlukan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menyerahkan laporan bertulis dalam tempoh 60 hari daripada penerimaannya bersama cadangan bagi mekanisme perlindungan antarabangsa untuk penduduk awam Palestin," menurut kenyataan itu hari ini.

Media antarabangsa melaporkan, UNGA di New York semalam, meluluskan resolusi dengan 120 majoriti undian, mengutuk Israel di atas kematian rakyat Palestin di Gaza selain menolak usaha Amerika Syarikat untuk meletakkan kesalahan itu terhadap Hamas.

Sekurang-kurangnya 129 rakyat Palestin maut ditembak tentera Israel dalam bantahan berhampiran sempadan Gaza sejak akhir Mac lalu, namun tiada rakyat Israel yang dilaporkan terbunuh.

Resolusi yang dibentangkan oleh Algeria dan Turki bagi pihak negara Islam serta Arab itu memperoleh 120 undian daripada 193 negara anggota, manakala lapan undi menolak dan 45 undi berkecuali.

Sementara itu, pindaan resolusi yang dibentangkan oleh Amerika Syarikat (AS) bagi mengutuk Hamas kerana 'menggalakkan keganasan' di sepanjang sempadan Gaza itu, gagal memperoleh majoriti undian dua pertiga untuk diterima pakai.

Menurut Wisma Putra, Malaysia sentiasa menjadi penyokong kuat Palestin dan menyuarakan sokongan dalam pemulihan hak tidak terpisah rakyat Palestin.

"Ia termasuk penubuhan Palestin sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

"Justeru, Malaysia akan terus berperanan aktif sebagai anggota PBB dalam menyumbang ke arah usaha menangani isu asas dan mencapai keadilan selain penyelesaian secara aman berhubung konflik Palestin-Israel," katanya.

Berita Harian X