Selasa, 12 Jun 2018 | 6:48pm
DR Zahari (kiri) beramah mesra bersama pengguna jalan raya yang ingin pulang ke kampung pada majlis penyerahan kerusi keselamatan kanak-kanak di R&R Rawang arah utara. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
DR Zahari (kiri) beramah mesra bersama pengguna jalan raya yang ingin pulang ke kampung pada majlis penyerahan kerusi keselamatan kanak-kanak di R&R Rawang arah utara. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

PERODUA edar percuma 100 kerusi keselamatan kanak-kanak

RAWANG: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), hari ini, mengagihkan 100 kerusi keselamatan kanak-kanak GearUp kepada pengguna jalan raya di tiga kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sebagai sebahagian daripada kempen Keselamatan Jalan Raya yang dilancarkan Oktober lalu.

Kerusi keselamatan kanak-kanak itu diberikan kepada pemandu PERODUA bertuah yang membawa kanak-kanak berusia antara dua tahun hingga enam tahun di stesen minyak Petronas di R&R Rawang (Lebuhraya PLUS), R&R Bentong (Lebuhraya Karak) dan R&R Seremban (Lebuhraya KL-Seremban).

Pengarah Urusan PERODUA Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin, berkata inisiatif yang julung kali diadakan itu adalah tanda keprihatinan PERODUA terhadap aspek keselamatan pelanggan dan ahli keluarganya.

"Kami harap rakyat Malaysia sedar kepentingan kerusi keselamatan kanak-kanak bagi menjamin keselamatan anak ketika kenderaan bergerak.

"Program ini turut mendapat kerjasama rakan niaga, Petronas dan panel insurans kami," katanya dalam kenyataan.

Kerusi keselamatan kanak-kanak GearUp PERODUA dikeluarkan menerusi dua model yang boleh dipasang pada ISOFIX dan memenuhi piawaian keselamatan ECE R44.

Ia mula diperkenalkan ketika Kempen Keselamatan Jalan Raya pada Oktober tahun lalu.

Dr Zahari berkata, lebih dua juta kenderaan dijangka berada di atas jalan raya pada perayaan Hari Raya ini.

"Semakin banyak kenderaan, semakin tinggi risiko pelanggaran dan kemalangan yang akan berlaku. Rekaan tali pinggang keledar dicipta untuk orang dewasa dan bukannya kanak-kanak.

"Adalah digalakkan untuk meletakkan anak-anak di kerusi keselamatan kanak-kanak di tempat duduk belakang dan bukannya di atas riba apabila kenderaan sedang bergerak," katanya.

Beliau turut mengingatkan pemandu dan penumpang kenderaan memasang tali pinggang keledar, menggunakan isyarat membelok dan tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, agar dapat pulang ke kampung dalam keadaan selamat.

Harga bagi kerusi keselamatan yang beratnya sehingga 13 kilogram adalah RM622.50 manakala kerusi keselamatan yang beratnya antara sembilan hingga 36 kilogram berharga RM736.

Berita Harian X