Ahad, 10 Jun 2018 | 6:18pm

MRL nafi ada klausa 'rahsia' dalam ECRL

KUALA LUMPUR: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menafikan laporan kononnya ada klausa mensyaratkan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) membeli saham dua syarikat pemaju berkaitan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

MRL dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, tiada sebarang klausa dalam kontrak di antara CCCC dan MRL mengenai syarat terbabit dan perkara itu juga tidak terdapat dalam mana-mana perjanjian pinjaman di antara MRL dan Export-Import Bank of China.

"Sebagai pemilik projek ECRL sejauh 688 kilometer, maklumat tidak tepat yang dinyatakan dalam laporan sebuah portal berita itu berpotensi merosakkan reputasi MRL dan hubungan baiknya dengan CCCC, kontraktor utama projek berkenaan.

"Oleh yang demikian, MRL menggesa supaya pihak media berhubung terus dengan Jabatan Komunikasi Korporat MRL untuk mengesahkan maklumat berkaitan projek ECRL," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, projek ECRL berjaya dilaksanakan atas dasar perjanjian Kerajaan kepada Kerajaan (G2G) dan usaha itu membawa kepada penubuhan syarikat bertujuan khas (SPV) untuk mengawasi pelaksanaannya.

"Setakat ini, ECRL sudah mencapai 14.33 peratus dalam keseluruhan kemajuan pembinaannya iaitu merangkumi pembinaan kem induk dan satelit di semua lapan bahagian projek, pemerolehan tanah, pembersihan tapak dan pembinaan jalan akses.

"Sehingga kini, pelbagai jalan akses sejauh kira-kira 95 kilometer dan jambatan sementara berjumlah sepanjang 1,067 meter dibina di tapak projek ECRL di negeri Pantai Timur," katanya.

Dalam pada itu, syarikat terbabit berkata, mereka akan terus membantu menyediakan maklumat kepada Kerajaan Persekutuan yang kini dalam proses mengkaji semula projek berkenaan.

"Kami percaya tidak lama lagi Kerajaan Persekutuan akan membuat keputusan yang tepat mengenai tindakan terbaik mengenai projek ECRL," katanya.

Dalam laporan bertajuk 'Jho Low Handiwork' disiarkan sebuah akhbar mingguan berbahasa Inggeris, melaporkan kontrak ECRL mengandungi klausa mensyaratkan CCCC membeli 70 peratus saham syarikat pemaju, Putrajaya Perdana Berhad pada harga AS$244 juta (RM973.20 juta) dan 90 peratus saham syarikat pemaju, Loh & Loh pada harga AS$71 juta (RM283.18 juta).

Berita Harian X