Ahad, 10 Jun 2018 | 3:29pm
KETUA Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed. - Foto Fariz Iswadi Ismail
KETUA Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Kabinet putuskan mekanisme deklarasi harta

KUALA LUMPUR: Mekanisme deklarasi harta oleh anggota pentadbiran kerajaan masih dalam peringkat perbincangan, dan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) hanya akan dimuktamadkan dalam mesyuarat yang akan datang.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata aspek deklarasi harta oleh anggota pentadbiran adalah antara perkara yang akan dibincangkan dengan terperinci pada mesyuarat itu, yang dijangka diadakan sebelum persidangan Parlimen bermula.

"Pada mesyuarat JKKMAR 8 Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menzahirkan komitmen beliau dan kerajaan untuk membincangkan perkara berkaitan dengan mekanisme deklarasi harta serta pemberian hadiah dalam kadar yang segera," katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, perdana menteri juga mencadangkan supaya maklumat deklarasi harta oleh anggota-anggota pentadbiran kepadanya turut diserahkan kepada agensi-agensi pencegahan rasuah.

"Sehubungan itu, GIACC mengalu-alukan sebarang cadangan, pandangan dan input bagi mewujudkan mekanisme yang lebih berkesan berkaitan dengan deklarasi harta oleh anggota pentadbiran," katanya

Abu Kassim berkata GIACC juga akan mengadakan sesi perbincangan dengan pihak yang berkepentingan bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas untuk mewujudkan mekanisme yang lebih baik lagi komprehensif.

"GIACC yakin kerjasama dan sokongan padu daripada semua pihak akan membantu mencapai objektif membebaskan negara daripada masalah rasuah," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut mengalu-alukan reaksi dan maklum balas yang dibuat oleh pelbagai pihak, termasuk parti-parti politik dan pertubuhan masyarakat sivil berkenaan dengan mekanisme deklarasi harta oleh anggota pentadbiran.

Pada 1 Jun lalu, Dr Mahathir bersetuju menubuhkan GIACC bagi menyelaras dan memantau semua kegiatan berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini dengan melantik Abu Kassim, yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk menerajui GIACC.

GIACC bertanggungjawab merancang, menggubal strategi dan menilai dasar dalam memastikan semua urusan kerajaan dilaksana berteraskan tadbir urus baik, integriti serta tiada tolak ansur kepada perbuatan rasuah.

Antara tugas awal GIACC yang dipersetujui perdana menteri adalah memastikan 21 janji berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah yang terdapat dalam manifesto kerajaan diberi tumpuan khusus untuk dilaksanakan dalam fasa-fasa tertentu. - BERNAMA

Berita Harian X