Sabtu, 9 Jun 2018 | 3:04pm

Peniaga ingkar selaras harga diberi notis

SERI KEMBANGAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengeluarkan lapan notis kepada peniaga yang gagal menyelaraskan harga barang jualan sejak pelaksanaan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan dalam Negeri) KPDNKK, Datuk Basaruddin Sadali, berkata peniaga yang menerima notis itu perlu mengemukakan justifikasi dan penjelasan berkaitan.

"Kita menerima 1,200 aduan dan lebih 300,000 premis diperiksa bermula 1 Jun lalu hingga semalam.

"Kita akan bertindak terhadap setiap aduan dalam tempoh 24 jam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan skim kawalan harga sempena Aidilfitri di Pasar Borong Selangor di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin; Pengarah KPDNKK Selangor, Ahmad Fauzi Idris; dan Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam.

Sementara itu, Basaruddin berkata, walaupun hanya 19 daripada 22 barangan keperluan disenaraikan dalam skim kawalan harga kali ini ada di Selangor.

Katanya, senarai merangkumi ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam - gred A, B dan C, daging lembu tempatan, daging kerbau yang diimport (India), cili merah, tomato, kubis bulat diimport (Indonesia dan China), kelapa biji (harga siling pada tahap borong), kelapa parut (harga siling pada peringkat runcit), bawang merah import (India), bawang import, bawang putih import (China), kentang import (China), ikan kembung termasuk mabung serta ikan selayang.

Beliau berkata, pemeriksaan di pasar borong menunjukkan majoriti peniaga mengikuti harga siling ditetapkan.

"Bagaimanapun, beberapa tanda harga tidak mematuhi spesifikasi dan kami menasihatkan peniaga menukarnya bagi mengelak kekeliruan.

"Pemeriksaan di pasar borong itu mendapati harga ditawarkan lebih tinggi berbanding lokasi lain.

"Justeru, pelanggan perlu bijak membuat perbandingan atau menyemak sebelum membeli memandangkan ada peniaga dan pasar raya besar menetapkan harga lebih rendah berbanding harga siling ditetapkan," katanya.

Beliau juga memberi amaran terhadap peniaga yang gagal mengikuti harga siling ditetapkan dan memaparkan tag harga merah jambu dengan betul yang membolehkan tindakan dikenakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Skim kawalan harga sempena Aidilfitri bermula dari semalam hingga 22 Jun, iaitu seminggu sebelum dan selepas perayaan.

TIMBALAN Ketua Setiausaha (Perdagangan dalam Negeri) KPDNKK, Datuk Basaruddin Sadali merasmikan skim kawalan harga sempena Aidilfitri di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, hari ini. - Foto Rosela Ismail
TIMBALAN Ketua Setiausaha (Perdagangan dalam Negeri) KPDNKK, Datuk Basaruddin Sadali merasmikan skim kawalan harga sempena Aidilfitri di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, hari ini. - Foto Rosela Ismail
Berita Harian X