Sabtu, 2 Jun 2018 | 8:46pm

GIACC perkasa integriti

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) diyakini akan bertindak sebagai satu pendekatan yang lebih komprehensif dalam melahirkan masyarakat Malaysia yang berintegriti tinggi.

Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) dalam satu kenyataan menyambut baik penubuhan pusat berkenaan yang bertujuan menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini.

Sehubungan itu, INTEGRITI menyatakan sokongan serta kesediaan bekerjasama bagi melaksanakan dasar dan program kerajaan dalam menjayakan agenda berkenaan, selaras objektif Pelan Integriti Nasional (PIN).

"INTEGRITI menyambut baik penubuhan GIACC bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah di negara ini.

"INTEGRITI yakin usaha terbaharu ini akan bertindak sebagai satu pendekatan yang lebih komprehensif dalam melahirkan masyarakat Malaysia yang berintegriti tinggi.

"Pada 31 Mei lalu, INTEGRITI berkongsi input dengan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) berkaitan cadangan penggubalan Akta Pembiayaan Politik (PDEA)," kata kenyataan itu, hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan penubuhan GIACC yang akan diterajui bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

GIACC bertanggungjawab merancang, menggubal strategi dan menilai dasar bagi memastikan urusan kerajaan dilaksana berteraskan tadbir urus baik, integriti dan tiada toleransi kepada perbuatan rasuah.

Antara tugas awal GIACC yang dipersetujui Perdana Menteri adalah memastikan 21 janji berkaitan tadbir urus, integriti dan antirasuah yang terdapat dalam manifesto PH diberi tumpuan khusus untuk dilaksanakan dalam fasa tertentu.

Berita Harian X