Sabtu, 2 Jun 2018 | 4:12pm
PELANGGAN dinasihat supaya merujuk kaunter khidmat pelanggan bagi mendapatkan bantuan, jika terdapat percanggahan harga. - Foto hiasan
PELANGGAN dinasihat supaya merujuk kaunter khidmat pelanggan bagi mendapatkan bantuan, jika terdapat percanggahan harga. - Foto hiasan

Cili merah turun harga

GEORGETOWN: Hanya satu daripada 10 barangan dalam senarai NSTP mencatatkan penurunan harga jualan, biar pun kadar baharu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sifar peratus sudah pun ditetapkan sejak semalam.

Barangan berkenaan ialah cili merah yang mencatatkan penurunan harga jualan kepada RM5.49 sekilogram, berbanding RM7.99 yang dicatatkan sejak Khamis lalu.

Tinjauan NSTP mendapati harga jualan bagi beras Super Tempatan (ST15), tepung gandum, ikan kembung, ayam, sawi, bayam, telur dan minyak masak bagaimanapun masih dijual pada harga sama.

Harga jualan bagi sekilo ayam adalah bernilai RM5.99, manakala daging (RM36); beras ST15 (antara RM12.89 hingga RM34.19); tepung gandum (antara RM1.89 hingga RM3.65) dan ikan kembung (RM14.99).

Sementara itu, Pengarah Khidmat Korporat Tesco Malaysia, Azliza Baizura Azmel ketika dihubungi berkata, harga jualan cili merah mencatatkan penurunan berikutan promosi sambutan Aidilfitri yang dijalankan pasar raya berkenaan.

"Bagaimanapun, sembilan barangan lain dan beberapa barangan basah dijual di Tesco tidak mencatatkan penurunan kerana harga jualannya sebelum ini memang ditetapkan pada kadar sifar peratus, sejak GST diperkenalkan pada 2014.

"Selain itu, tanda harga bagi barangan yang sebelum ini dijual pada kadar GST enam peratus masih dalam proses dikemaskini.

"Pelanggan dinasihat supaya merujuk kaunter khidmat pelanggan bagi mendapatkan bantuan, jika terdapat percanggahan harga," katanya.

Info

1. Beras super tempatan ST15 5kg - RM12.89 hingga RM34.19

2. Telur sedozen

- Grade A - RM5.89 hingga RM8.69

- Grade B - RM3.79

- Grade C - RM3.49

3. Ayam standard 1kg - RM 5.99

4. Daging lembu tempatan 1kg - RM36

5. Ikan kembung 1kg - RM14.99

6. Sawi 1kg - RM3.99

7. Tepung gandum 1kg - RM1.89 hingga RM3.65

8. Minyak masak paket 1kg - RM2.50 hingga RM11.99

9. Bayam 1kg

- Merah - RM2.99

- Hijau - RM2.99

10. Cili merah 1kg - RM5.49

Berita Harian X