Selasa, 29 Mei 2018 | 4:33pm
BEKAS pelumba kebangsaan dan Selangor, Mohd Yafiz Jamaludin. - Foto NSTP
BEKAS pelumba kebangsaan dan Selangor, Mohd Yafiz Jamaludin. - Foto NSTP

Kayuh solo 700km rai kemenangan Tun M

PUTRAJAYA: "Saya lakukan ini bukan untuk menunjuk tetapi demi kepuasan diri dan sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad," kata Mohd Yafiz Jamaludin, 37, yang melakukan kayuhan solo di Semenanjung bagi meraikan kemenangan Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bekas pelumba kebangsaan dan Selangor itu sebelum ini melakukan kayuhan solo bermula dari Kangar, Perlis seterusnya Sungai Petani, Kedah dan menuju ke Taiping, Sitiawan di Perak serta Kuala Selangor, Selangor dan Putrajaya pada 12 hingga 16 Mei lalu sejauh 700 kilometer (km).

Mohd Yafiz kemudian meneruskan misi kedua bermula jam 11.30 malam kelmarin bagi melengkapkan kayuhan solonya bermula dari Bangi, Selangor menuju Alor Gajah, Melaka; Segamat, Johor; Muadzam Shah dan Kuantan, Pahang; Kerteh, Kuala Terengganu, Terengganu dan berakhir di Pasir Puteh, Kelantan.

Mohd Yafiz berkata, misi kedua ini dijangka mengambil masa tujuh hari dengan anggaran jarak kayuhan sekitar 100km hingga 120km sehari.

"Berikutan Ramadan, kayuhan hanya bermula pada tengah malam dan saya akan berhenti di destinasi untuk bersahur serta berehat sebelum meneruskan kayuhan semula pada sebelah malam.

"Kayuhan ini mengambil masa tujuh hari, namun jika saya berehat sehari di Kuantan memandangkan sudah berkayuh empat hari selain melihat keadaan badan ketika itu, misi ini dijangka tamat pada hari kelapan," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Dalam pada itu, bekas jurulatih Selangor dan Brunei itu berkata, laluan yang digunakan membabitkan jalan utama tetapi tidak melalui lebuh raya.

"Saya mengelakkan laluan lebuh raya kerana banyak kenderaan dan memandangkan misi kedua ini perlu berkayuh malam, bapa saya mengiringi dengan kereta dari belakang.

"Cabaran waktu malam ini kita perlu berhati-hati dengan sebarang risiko, misalnya pemandu tidak nampak kehadiran saya atau mereka mungkin mengantuk atau terlelap ketika memandu," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Yafiz berkata, dia sudah merancang untuk melakukan kayuhan solo itu sebagai tanda sokongan kepada Dr Mahathir sejak sebelum PRU-14 lagi.

"Ini adalah pengorbanan yang saya lakukan sebagai tanda sokongan kepada pentadbiran beliau kerana saya tidak pandai berpolitik.

"Saya adalah bekas pelumba serta bekas jurulatih basikal dan memandangkan kemampuan saya hanya dalam kayuhan, jadi saya tunjukkan sokongan melalui cara ini.

"Kayuhan solo ini adalah untuk kepuasan diri selain melaksanakan apa yang diniatkan sebelum ini, jadi ia perlu ditunaikan," katanya.

Berita Harian X