Selasa, 22 Mei 2018 | 5:27pm
MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tiga dari kiri) mengucapkan tahniah kepada Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) selepas Majlis Pelantikan Exco di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit hari ini. - Foto BERNAMA

Kaji semula projek bekalan air terawat di Kedah

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan mengkaji semula semua perancangan untuk menyelesaikan masalah bekalan air terawat di Kedah yang dilaksanakan pentadbiran terdahulu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata kajian yang akan dilakukan itu termasuk membabitkan projek menaiktaraf lima loji rawatan air (LRA) yang membabitkan kos RM928 juta.

"Kami nak tengok semula apa yang terkandung dalam perjanjian itu sama ada wujudnya keperluan menaiktaraf LRA dan jika perlu, adakah ia pada kadar yang sepatutnya dan siapa yang dianugerah projek itu.

"Mana (projek) yang perlu diteruskan kita akan lakukan dan mana yang perlu ditangguh, akan ditangguhkan, " katanya pada sidang media selepas Majlis Angkat Sumpah dan Pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah di Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

EXCO yang mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, membabitkan empat wakil PKR, Parti Amanah Negara (tiga), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (dua) dan DAP (satu).

Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazudin Ariff Sultan Sallehuddin.

Beliau diminta mengulas mengenai perancangan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah air di Kedah, di mana isu itu antara dimasukkan dalam 10 janji Pakatan Harapan (PH) yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan kelulusan lima projek baharu bekalan air luar bandar melalui peruntukkan pinjaman RM928 juta daripada kerajaan Persekutuan membabitkan kerja menaik taraf LRA Pelubang, LRA Jenun Baru, LRA Bukit Selambau, LRA Sungai Limau dan LRA Lubuk Buntar Lama.

Mukhriz berkata, pihaknya juga akan menubuhkan Jawatankuasa Bekalan Air untuk memperincikan penyelesaian masalah air bagi jangka masa pendek, pertengahan dan panjang.

"Janji PH yang kita buat sebelum ini akan diangkat sebagai janji kerajaan negeri dan salah satu perkara yang penting adalah membabitkan soal masalah saluran air dan kita akan melancarkan audit teknikal bagi memahami serta mendalami punca masalah itu.

"Di Kedah ini, bekalan air (mentah) tidak mempunyai masalah sangat cuma dari aspek saluran air dan kita akan bincang dengan kerajaan Pusat bagi mendapatkan peruntukkan secukupnya supaya perkara ini dapat diselesaikan, " katanya.

Berita Harian X