Ahad, 20 Mei 2018 | 3:04pm
KETUA Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA

Anwar jumpa BJ Habibie di Jakarta

JAKARTA: Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengadakan pertemuan dengan bekas Presiden Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie, bersempena sambutan 20 tahun reformasi Indonesia.

Bacharuddin atau lebih dikenali sebagai BJ Habibie, adalah presiden Indonesia ketiga, menggantikan Presiden Soeharto dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Okt 1999.

Pertemuan itu berlangsung di kediaman BJ Habibie di Jalan Patra Kuningan, Jakarta pada 1 tengah hari waktu tempatan.

Anwar dalam satu kenyataan sebelum pertemuan itu, berkata pertemuan itu adalah atas undangan BJ Habibie, bersempena sambutan ulang tahun ke-20 Reformasi Indonesia.

"Tahun 1998 adalah tahun keramat bagi Malaysia dan Indonesia, 21 Mei 1998 diingati rakyat Indonesia sebagai tarikh jatuhnya rejim Orde Lama dan bermulanya zaman peralihan kuasa serta pengukuhan institusi demokrasi yang berlaku dengan pentadbiran Presiden BJ Habibie.

"Manakala 2 September 1998 diingati rakyat Malaysia sebagai tarikh bermulanya kejatuhan rejim Barisan Nasional (BN) yang akhirnya selesai hampir dua dekad kemudian pada 9 Mei 2018," katanya.

Anwar berkata pertemuan dan perbincangan dengan BJ Habibie akan mengeratkan lagi hubungan di antara kedua-dua negara serta memperkukuh iltizam melaksana agenda reformasi di Malaysia.

Pada 16 Mei lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, berkenan memberi pengampunan penuh kepada Anwar.

Pengampunan penuh Anwar dibentang dan dipertimbangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Anwar, 71, menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat. Anwar dijadualkan dibebaskan pada 8 Jun. - BERNAMA

Berita Harian X