Sabtu, 19 Mei 2018 | 8:43pm

EXCO Perak angkat sumpah

KUALA KANGSAR: Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Mereka yang mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan itu adalah lima ADUN daripada DAP, tiga daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) dan dua PKR.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut hadir, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Mendahului senarai mengangkat sumpah jawatan adalah ADUN Manjoi yang juga Pengerusi AMANAH Perak, Asmuni Awi; diikuti ADUN Tronoh yang juga Penolong Setiausaha DAP negeri, Yong Choo Kiong dan ADUN Kuala Kurau dari PKR, Abdul Yunus Jamhari.

Ia diikuti bekas Menteri Besar yang juga ADUN Sungai Rapat dan Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan ADUN Tebing Tinggi daripada DAP, Dr Abdul Aziz Bari.

Turut dilantik, A Sivanesan (DAP-Sungkai); Wong May Yin (DAP-Pantai Remis) yang juga satu-satunya EXCO Wanita, Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai); Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim (AMANAH-Titi Serong) dan Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji).

Lapan daripada yang dilantik adalah muka baharu manakala Mohamad Nizar adalah bekas Menteri Besar ketika Pakatan Rakyat membentuk kerajaan negeri pada 2008, manakala Sivanesan adalah bekas EXCO kerajaan negeri itu.

Portfolio kesemua EXCO bagaimanapun hanya akan diumumkan kemudian.

DAP paling ramai dilantik sebagai EXCO kerana parti itu menang 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), manakala AMANAH dan PKR masing-masing enam dan empat kerusi.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) hanya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang yang diwakili Ahmad Faizal, yang kemudiannya dilantik Menteri Besar selepas mendapatkan sokongan dua ADUN Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri.

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Asmuni Awi pada Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (EXCO) Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. - Foto Abdullah Yusof
AHMAD Faizal Azumu (tengah) bersama barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (EXCO) pada Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah EXCO Kerajaan Negeri Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. - Foto Abdullah Yusof
Berita Harian X