Sabtu, 19 Mei 2018 | 12:15am
ANGGOTA Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik. - Foto BERNAMA
ANGGOTA Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik. - Foto BERNAMA

Maszlee pilihan terbaik

BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) yakin Menteri Pendidikan yang baharu dilantik, Dr Maszlee Malik, mampu memimpin kementerian berdasarkan pengalaman beliau sebagai ahli akademik.

Naib Canselornya, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata sebagai seorang ilmuwan dan mempunyai asas kesarjanaan, Dr Maszlee mampu melaksanakan dasar kerajaan, selain membela warga kementerian dalam pelbagai peringkat.

"UKM akan memberikan sokongan terbaik kepada Dr Maszlee," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Sambutan Ulang Tahun Ke-48 UKM di Masjid UKM, di sini, malam ini.

Petang tadi, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan pelantikan Dr Maszlee, yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam sebagai Menteri Pendidikan.

Ditanya mengenai Pusat PERMATA Pintar Negara (PPPN) UKM yang beroperasi sejak 2011, Prof Noor Azlan berkata, terserah kepada kerajaan sama ada mahu meneruskan program itu di UKM atau tidak.

"Setakat ini, saya belum dimaklumkan mengenai fungsi PPPN, sama ada diteruskan atau sebaliknya," katanya.

Wujud desas-desus PPPN yang diasaskan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, iaitu Datin Seri Rosmah Mansor, akan dimansuhkan.

Ini kerana ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) lantang menyuarakan bantahan terhadap peruntukan kerajaan terdahulu terhadap pusat itu yang disifatkan mereka membazirkan duit rakyat.

Mengenai kejayaan UKM, Prof Noor Azlan berkata, ketika ini universiti itu menduduki ranking 230 dunia daripada lebih 30,000 universiti seluruh dunia.

Katanya, dalam tempoh 48 tahun beroperasi, UKM kini adalah universiti kelima terbaik Asia Tenggara, iaitu suatu pencapaian yang amat membanggakan negara.

Beliau berkata antara tokoh dilahirkan adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

"Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, juga alumni UKM, selain Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim," katanya.

Berita Harian X