Jumaat, 18 Mei 2018 | 11:26pm

`Mungkin saya yang pertama..'

SEPANG: "Ada saat saya rasa perit (untuk menamatkan misi), namun mengenangkan kerja keras jurulatih dan rakan lain, saya tidak mahu mengecewakan mereka."

Itu pengakuan pendaki kudung kedua-dua kaki, Azrulkhan Hasrullah atau Adam, yang berjaya sampai di Kem Induk Everest, Selasa lalu.

Pendaki istimewa itu tiba di kem dengan ketinggian 5,350 meter (m) jam 12.30 tengah hari waktu tempatan (2.45 petang waktu Malaysia) dengan cara mengengsot.

Menceritakan pengalamannya, Adam berkata, beliau berhadapan pelbagai cabaran dan sudah tentu memerlukan ketabahan serta kecekalan hati bagi menamatkan misi.

"Memang ada saat perit dan ada saat, saya rasa gembira, malah perasaan itu silih berganti sepanjang melakukan misi ini.

"Bagi saya, ini bukan kejayaan solo tetapi berpasukan kerana dengan kesungguhan dan kerja keras jurulatih serta rakan dalam pasukan ini menyebabkan saya juga tidak mahu berputus asa. Saya tak nak mereka kecewa," katanya.

Adam ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, sebaik tiba dari Nepal, semalam.

Turut hadir menyambut ketibaan Adam adalah Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B), Muhammad Muqha­rabbin Mokhtarrudin atau Qobin, kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan rakan Adam.

Misi dijayakan KE7B itu turut disertai oleh Aliff Abdullah sebagai ketua perubatan dan pengurus ekspedisi, Irwan Yusof serta jurulatih Adam, Ardi Dullam.

Adam yang juga graduan UIAM berkata, cuaca sejuk antara -5 daarjah Celsius hingga -8 Celsius, selain keadaan laluan juga memberi cabaran kepadanya.

"Misalnya, saya perlu melalui jalan yang berbatu kecil dan tajam, bersalji, berbatu besar dan pasir, malah, saya juga perlu mendaki," katanya.

Tambah Adam, setiap kali melalui jalan kampung, penduduk di situ turut keluar dan melihatnya mengengsot untuk ke kem induk berkenaan.

"Mungkin mereka terkejut tidak pernah lihat ada orang kelainan upaya (OKU) mengengsot untuk ke kem itu.

"Kalau ikutkan, saya yang pertama sampai ke kem itu dengan cara mengengsot," katanya.

Sementara itu, Qobin berkata, kejayaan dicapai Adam memberi isyarat tiada alasan kepada sesiapa pun, tidak kira sempurna fizikal atau sebaliknya untuk mencapai sesuatu kejayaan.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memberi sokongan kepada Adam jika beliau berhasrat melakukan misi lain selepas ini.

PENDAKI istimewa Hasrullah Azrulkhan (tiga, kiri) didukung oleh rakan-rakannya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto BERNAMA
Berita Harian X