Selasa, 15 Mei 2018 | 12:27pm
ZAKRI (enam dari kanan) bersama pemenang dan peserta FameLab Malaysia 2018.
ZAKRI (enam dari kanan) bersama pemenang dan peserta FameLab Malaysia 2018.
DR Siti Kayriyyah, juara FameLab Malaysia 2018 bersama hadiah kemenangan. - Foto ihsan MIGHT
DR Siti Kayriyyah, juara FameLab Malaysia 2018 bersama hadiah kemenangan. - Foto ihsan MIGHT

Pensyarah USM juara FameLab Malaysia 2018

KUALA LUMPUR: Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Siti Kayriyyah Mohd Hanafiah, 33, dinobatkan sebagai juara FameLab Malaysia 2018 yang diadakan sempena Persidangan Global Going baru-baru ini.

Beliau yang kini bertugas di School of Biological Sciences membawa tajuk, To Find A Hidden Killer, menerima trofi dan wang tunai RM3,000 serta akan mewakili Malaysia dalam pertandingan FameLab International, United Kingdom pada 7 Jun ini sempena Festival Cheltenham Science yang berlangsung dari 5 hingga 10 Jun akan datang.

Ibu kepada dua anak itu akan berentap dengan pemenang kebangsaan daripada 25 negara bagi memenangi gelaran Juara Antarabangsa.

Voon Ching Lim yang sedang menyiapkan PhD di Universiti Malaya dengan tajuk 'Creepy Yet Crucial-Why Bats Matter?, mendapat tempat kedua manakala pelajar tahun akhir ijazah sarjana dalam bidang sains perubatan, Vishala Sivapalan pula menduduki tempat ketiga dengan persembahan 'Burn The Fat and Live(r) Healthy'. Sementara Kroger Zi Yuen dengan persembahan bertajuk 'Bringing Magic To The World' menjadi calon pilihan penonton.

Hadiah disampaikan Pengerusi Bersama (Kerajaan) MIGHT, Profesor Tan Sri Zakri Abdul Hamid. Yang hadir sama pada majlis itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman; Pengarah Pendidikan dan Masyarakat British Council, Profesor Jo Beall dan Pengarah British Council Malaysia, Sarah Deverall.

FameLab Malaysia 2018, adalah pertandingan pencarian bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dianjurkan bersama oleh Kumpulan Industri Perindustrian Malaysia untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) dan British Council Malaysia.

Dalam pertandingan itu, para peserta dikehendaki menghiburkan penonton dalam persembahan selama tiga minit mengenai konsep STEM yang dipilih. Ia terbuka kepada semua saintis Malaysia, jurutera, ahli teknologi, ahli matematik dan peminat STEM berumur 21 tahun ke atas.

FameLab dimulakan pada tahun 2005 di United Kingdom oleh Cheltenham Science Festival. Ia dibawa ke Malaysia pada 2015 pada platform MIGHT Academy dan British Council dengan matlamat untuk menutup jurang antara saintis dan orang awam.

Berita Harian X