Ahad, 13 Mei 2018 | 9:12pm
FOTO hiasan.

Kerajaan baharu diminta serius tangani isu PATI

KUALA LUMPUR: Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) sehingga menutup rezeki rakyat tempatan seharusnya tidak dipandang remeh apabila ramai warga asing kini memonopoli sektor perniagaan tempatan.

Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (PEKIRA), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, isu PATI yang menjalankan perniagaan bukanlah sesuatu yang baru diperkatakan, namun sehingga kini keadaan itu dilihat semakin mengancam.

"Pada awalnya, kedatangan mereka adalah sebagai buruh dalam industri pembinaan dan perkilangan, namun selepas permit ditamatkan ada diantara mereka yang berani untuk terus tinggal di dalam negara.

"Malah mereka nekad untuk lari dari majikan sedia ada dan bagi menampung kos di sini, mereka memulakan perniagaan kecil-kecilan malah turut mendapat bantuan kewangan dari rakan senegara," katanya yang ditemui di Balai Berita Bangsar, hari ini.

Katanya, sebahagian besar perniagaan di beberapa negeri mula dikuasai warga asing.

"Saya berharap kerajaan baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamed menambah baik undang-undang sedia ada bagi menangani PATI sekaligus membantu usahawan tempatan.

"Perniagaan usahawan tempatan semakin mengecil kerana menerima persaingan tinggi dari peniaga warga asing yang menjual produk yang sama terutama dalam segmen pakaian dan makanan," katanya.

Beliau turut berharap Kementerian Dalam Negeri mengkaji kemasukan warga asing bagi tujuan memenuhi kuota pekerjaan asing di negara ini dan perlu menjalani tapisan ketat agar mereka tidak sewenang-wenangnya tinggal di negara ini.

Ridzuan juga berharap kerajaan menumpukan beberapa isu lain yang memerlukan pembaharuan demi kesejahteraan rakyat.

"Ini termasuklah mengkaji semula Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) berkenaan dengan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan PBT serta soal Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) dan Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS)," katanya.

Berita Harian X